fbpx

Helah mengaku saudara, pencuri ditangkap polis

ANTARA barangan yang dicuri suspek dan pintu serta jeriji rumah mangsa yang diumpil dalam kejadian pecah masuk rumah di Kampung Tampin Kanan, Linggi, Port Dickson, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang lelaki berjaya ditangkap polis dalam tempoh kurang 24 jam selepas terbabit dalam kes pecah masuk rumah di Kampung Tampin Kanan, Linggi dekat sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 32 tahun ditangkap di tepi jalan di kampung berkenaan oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan Balai Polis Linggi kira-kira pukul 1 petang.

Menurutnya, pihak polis telah menerima laporan polis berhubung kes pecah masuk rumah berkenaan daripada mangsa yang merupakan seorang pesara di Jabatan Taman Laut Malaysia, Putrajaya, semalam.

“Suspek yang tiada rekod jenayah lampau akan di bawa ke Mahkamah Seksyen Seremban esok untuk proses tahan reman. Ujian saringan air kencing telah dibuat dan keputusannya adalah negatif.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara hingga lima tahun dan dikenakan denda,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, anak mangsa, Munirah Zolkapeli, 35, berkata, ayahnya, Zolkapeli Zainal, 64, yang ketika itu berada di rumah di Serdang, Selangor telah menerima panggilan daripada saudara mereka pada pukul 6.30 petang yang memaklumkan rumah kebun mereka dikunjungi individu tidak dikenali.

Kejadian sekitar pukul 5.30 petang itu disedari saudaranya yang melalui hadapan rumah berkenaan yang kemudian terlihat sebuah kenderaan pacuan empat roda tidak dikenali berada di tepi jalan berdekatan rumah.

“Jadi saudara saya itu berhenti dan bertanya kepada seorang lelaki yang sedang mengangkat kipas dari rumah kami siapakah dia. Lelaki yang berparut di bahagian muka itu menyatakan dia merupakan saudara tuan rumah dan mahu menghantar barangan.

Bagaimanapun menurutnya, helah lelaki itu tidak berhasil apabila saudaranya menyatakan dia bersaudara dengan tuan rumah, lalu lelaki berkenaan memberitahu

“Bagaimanapun, saudara saya sempat mengambil gambar kenderaan suspek bagi tindakan lanjut. Lelaki yang menawarkan khidmat baik pulih penghawa dingin berkenaan menggunakan kenderaannya sendiri untuk memecah masuk rumah kami dan berjaya dikesan nombor telefonnya melalui perkhidmatan yang ditawarkannya itu.

“Pada mulanya semasa dihubungi, lelaki berkenaan tidak mengaku melakukan perbuatan berkenaan namun setelah dihubungi beberapa kali, lelaki berkenaan mengaku dan ingin memulangkan barangan,” katanya.

Menurut Munirah, apa yang menghairankan mereka sekeluarga, selain barangan elektrik seperti dua kipas tegak, penyedut habuk, televisyen, suspek turut mencuri alas kaki, jag, bakul sampah serta sabun basuh pinggan.

“Setelah dihubungi juga, suspek memesan kepada saudara kami untuk tidak memaklumkan hal kecurian berkenaan kepada isterinya,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan menurutnya, suspek memecah masuk kediaman mereka melalui pintu belakang dengan mengumpil jeriji serta pintu.

“Dianggarkan kerugian kira-kira RM2,000. Apa pun kami bersyukur suspek telah berjaya ditangkap polis,” katanya. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI