Elak jadi Sang Rajuna Tapa - Utusan Malaysia

Elak jadi Sang Rajuna Tapa

ARIPIN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Semangat patriotisme terhadap agama, bangsa dan negara serta institusi diraja perlu diperkukuh dalam kalangan rakyat kerana ia teras kepada kemajuan serta kemakmuran.

Tokoh Warisan Orang Hidup Kebangsaan, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, semangat itu pemangkin kepada usaha menegakkan sistem bernegara yang diamalkan sejak sekian lama.

Tegasnya, tanpa semangat jati diri menyebabkan segelintir pihak pada ketika ini tidak peka kesan jangka panjang perbuatan sedemikian dan sanggup menjadi ‘Sang Rajuna Tapa’ perderhaka kepada raja.

“Sebenarnya konsep kesetiaan dan patriotik ini telah diterapkan oleh pahlawan Melayu Mat Kilau yang bersumpah dan memberikan amanat supaya taat kepada tuhan, taat dan setia kepada raja, sayangi bangsa (hidup berperaturan dan undang-undang), sayang negeri, jujur serta ikhlas.

“Sumpah, wasiat dan semangat Mat Kilau adalah jelas supaya rakyat menjaga agama, bangsa dan tanah air dengan harapan jangan sampai bangsa hilang negara,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini semalam.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah baru-baru ini memperkenan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos ini atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal serta diturunkan dengan berkesan.

Perkenan pelaksanaan darurat tersebut diberikan selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyembah maklum keputusan Mesyuarat Jemaah Kabinet dan mengambil kira rundingan Seri Paduka dengan Raja-Raja Melayu.

Aripin berkata, jika mempunyai semangat jati diri dan patriotisme, sudah tentu rakyat menjunjung kasih dan patuh dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong berhubung pelaksanaan darurat tersebut.

“Saya sedih apabila melihat pelbagai komen dilemparkan netizen di laman sosial Facebook berhubung perkenan Seri Paduka.

“Sebab itulah, sebagai rakyat penting untuk kita mengukuhkan jati diri dan janganlah kita menjadi seperti ‘Sang Rajuna Tapa’,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×