TEMERLOH: Menteri Besar Pahang pertama, Datuk Sir Mahmud Mat dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Raja Abu Samah Ali antara tokoh yang pernah menaiki kapal British Vivian & Sons Sheating dari Pekan ke Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada 1903.
Kapal itu yang ditemukan terdampar di Kampung Pagar Tebing Sungai Lipis di Lipis, dekat sini selepas banjir besar baru-baru ini berjasa membantu melahirkan cendekiawan Melayu Pahang awal abad ke-20.
Pakar Rujuk Pusat Kebudayaan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) Asia Fasifik (Bahagian Peradaban) Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, dua tokoh berkenaan pada waktu itu belajar di MCKK.
“Kedua-dua tokoh ini menjadi orang penting pentadbiran negeri Pahang sebagai Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri zaman pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar.
“Mereka menaiki kapal ini dari Pekan ke Singapura ke Teluk Intan kerana bersekolah di MCKK pada 1903,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau diminta mengulas berhubung fungsi kapal British itu sebagai pengangkutan utama pada abad ke-19 dan sehingga suku abad ke-20.
Aripin berkata, kapal itu juga digunakan pegawai Inggeris antaranya Wise Gray yang mana kuburnya di Pasir Tambang Kuala Tembeling, Jerantut, JP Rodger, Hugh Clifford dan beberapa pegawai lain dari Pekan ke Kuala Lipis serta dari Pekan ke Singapura.
Beliau berkata, Vivian & Sons Sheating aktif berniaga sambil membawa penumpang kenamaan dari Pekan ke Singapura ke Port Swettenham (Pelabuhan Klang) ke Telok Anson (Teluk Intan), Port Weld (Kuala Sepetang) dan ke Pulau Pinang secara berulang alik.
“Kapal ini juga pernah dinaiki Abdullah Abdul Kadir Munsyi atau lebih dikenali sebagai Munsyi Abdullah yang berkerja dengan Sir Thomas Stamford Raffles sekitar 1838 ke Pahang seperti Pekan dan Chenor melalui catatan Kisah Pelayaran Abdullah,” katanya. – UTUSAN ONLINE








