Bab faraid yang balu perlu tahu - Utusan Malaysia

Bab faraid yang balu perlu tahu

Apabila kematian suami, maka Islam menetapkan ada hak bagi balu dan anak-anak serta waris mengikut hukum faraid. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ikatan kekeluargaan dalam Islam adalah suatu yang suci dan mulia kerana dibina atas lunas-lunas ketenteraman, kasih sayang dan kerahmatan. Kekeluargaan Islam juga menjadi sendi dalam sesebuah masyarakat. Apabila sesebuah keluarga itu baik, nescaya ia mampu membentuk suasana yang baik dalam masyarakat.

Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmat-Nya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (al-Rum: 21)

Dalam sistem faraid, ikatan kekeluargaan boleh dibahagikan kepada dua pertalian utama iaitu melibatkan perantaraan atau tidak. Sekiranya mereka bersambung dengan si mati tanpa perantaraan, maka hubungan mereka sangatlah kuat dan kukuh.

Oleh itu, mereka akan mendapat bahagian yang lebih dan kedudukannya akan sentiasa terjamin. Contoh hubungan tanpa perantaraan ialah pasangan suami atau isteri. Keduanya dijamin untuk mendapat bahagian masing-masing dalam perundangan faraid jika pasangannya meninggal dunia.

Perkongsian hidup suami dan isteri sehingga diakhiri dengan kematian menyebabkan keduanya berhak untuk saling mewarisi antara satu dengan yang lain. Namun, ikatan perkahwinan yang diperakui sebagai satu sebab faraid ialah hubungan lelaki dan perempuan yang dibina di atas akad yang sah.

Hubungan tersebut juga masih berkekalan ketika salah seorang pasangan meninggal dunia walaupun mereka belum melakukan persetubuhan.

Isteri yang kematian suami atau balu diberi hak terjamin dalam peruntukan faraid. Mereka tidak sama sekali dinafikan daripada mendapat harta pusaka suaminya.

Setiap balu berhak mendapat harta pusaka suaminya yang meninggal dunia apabila dia masih bergelar isteri atau sedang berada dalam edah talak rajie iaitu talak yang masih boleh dirujuk kembali (pada talak pertama atau kedua) dengan syarat isteri yang dicerai itu masih dalam tempoh edah.

Perkara ini dilihat sebagai satu keistimewaan yang diberikan oleh Islam atas hubungan perkahwinan yang suci. Pada masa yang sama, ahli keluarga suami yang meninggal dunia tidak seharusnya menafikan hak balu tersebut. Ini bermakna keharmonian ipar-duai mahupun menantu mertua seharusnya berterusan dan berkekalan walaupun selepas berlakunya kematian suami balu tersebut.

PEMBAHAGIAN FARAID KEPADA BALU DAN WARIS

Bahagian faraid isteri si mati yang bergelar balu terbahagi kepada dua, iaitu satu perempat dan satu perlapan. Balu dapat satu perempat apabila suami yang meninggal dunia tidak meninggalkan zuriat keturunan dan ke bawah. Sementara bahagian sebanyak satu perlapan diperolehi apabila suami meninggal dunia dan ada zuriat keturunan ke bawah.

Balu perlu tahu bahawa tidak disyaratkan zuriat itu adalah hasil perkongsian bersama balu tersebut atau suami yang meninggal dunia tadi mempunyai zuriat hasil perkahwinan terdahulu atau hasil perkongsian poligami dengan isteri-isteri lain. Yang penting, zuriat tersebut bersambung kepada suaminya yang meninggal dunia.

Sandaran hukum kepada bahagian balu ialah firman Allah SWT dalam ayat 12 surah al-Nisa’.

Sekali lagi dalam peruntukan faraid bagi balu, rasional logik akal kita tidak dapat mengetahui hikmah yang tepat di sebalik ketentuan tersebut. Sebabnya, ia sebahagian peraturan dan formula ilahi dalam hukum faraid.

Yang dapat difahami, kebajikan zuriat si mati akan diutamakan untuk mendapat lebih berbanding balu. Contoh penyelesaian kes-kes yang melibatkan balu si mati boleh digambarkan dalam jadual 1.

 

JADUAL 1

Berdasarkan jadual tersebut, balu dijamin dapat faraid antara nilai terbanyak iaitu satu perempat dan nilai terendah iaitu satu perlapan. Perbezaan bahagian tersebut dipengaruhi oleh kewujudan zuriat si mati iaitu suami balu tersebut. Jika si mati meninggalkan beberapa orang balu, mereka akan berkongsi bahagian faraid yang sama.

Dalam kes pertama, balu mendapat satu perempat kerana si mati tidak tinggalkan zuriat. Jika harta si mati RM4,000, maka balu tersebut hanya layak dapat RM1,000. Nilaian harta si mati akan berbeza-beza, namun pecahan akhir di bahagian saham akan didarabkan kepada harta sebenar masing-masing.

Nilaian harta yang berbaki iaitu RM3,000 perlu diserahkan kepada baitulmal kerana si mati tidak meninggalkan waris. Amalan di Malaysia, harta yang diserahkan kepada baitulmal masih boleh dituntut oleh balu atas kapasiti tuntutan tebus pusaka.

Kes kedua memperlihatkan waris si mati terdiri daripada isteri (balu) dan anak lelaki. Menurut peraturan faraid, balu hanya layak dapat satu perlapan. Baki harta pusaka akan dimiliki oleh anak lelaki. Dengan andaian harta pusaka si mati adalah RM4,000 seperti kes pertama, maka balu berhak dapat RM500. Lebihan harta pusaka sebanyak RM3,500 adalah milik anak lelaki.

Dalam kes ketiga, balu tetap dapat nilai sama iaitu RM500 (satu perempat) daripada harta pusaka. Bezanya, seorang anak perempuan si mati layak dapat satu perdua sahaja. Lebihan harta pusaka dalam kes ketiga perlu diserah kepada baitulmal.

Tiga contoh kes yang melibatkan balu ini memperlihatkan keunikan ilmu faraid yang perlu difahami bahawa setiap kes melibatkan konflik keluarga adalah berbeza kerana setiap daripada kita memiliki waris yang tidak serupa.

HARTA SEPENCARIAN

Realitinya, isteri sangat membantu dan menyumbang sokongan kewangan kepada keharmonian sesebuah keluarga. Mungkin segelintir mereka mempersoalkan habuan secara faraid agak sedikit terutama bagi mereka yang melalui tempoh usia perkahwinan yang lama dan diakhiri kematian suami masing-masing.

Dari sudut lain, setengah harta turut dikongsi oleh pasangan suami isteri dalam memperolehinya. Sebagai contoh, rajah (1) menunjukkan sebuah rumah yang dibeli secara bersama dengan andaian masing-masing memberi peruntukan sebanyak 50 peratus.

Apabila berlaku kematian suami dan turut meninggalkan waris lain seperti ibu, bapa, seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan, maka setiap balu harus tahu bahagian suami tersebut turut akan diagih kepada waris-waris lain mengikut faraid. Justeru itu, tuntutan harta sepencarian adalah sebahagian bentuk hak yang boleh dituntut kepada pasangan yang masih hidup.

Dalam perundangan keluarga Islam Malaysia, balu berhak menuntut harta suaminya yang meninggal dunia melalui tuntutan harta sepencarian. Harta sepencarian ialah harta yang diperoleh bersama suami isteri ketika perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat yang ditentukan hukum syarak (Seksyen 2, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003).

Setiap pasangan yang berkahwin mempunyai hak yang eksklusif untuk memiliki sebarang harta pasangannya yang meninggal dunia. Selain faktor kematian pasangan, tuntutan harta sepencarian boleh dipohon di Mahkamah Syariah atas dua faktor iaitu selepas perceraian dan berlaku poligami semasa perkahwinan.

Hampir semua negeri di Malaysia memperuntukkan tentang tuntutan harta sepencarian dalam Akta atau Enakmen Keluarga Islam masing-masing dan Mahkamah Syariah diberi kuasa mendengar dan menetapkan tindakan berkaitan pembahagian harta sepencarian.

Lebih menarik, tuntutan dan agihan harta sepencarian berlaku sebelum harta pusaka diagihkan secara faraid dalam hierarki pengurusan harta si mati. Di Selangor contohnya, satu fatwa berkaitan ‘Harta Sepencarian Selepas Kematian Salah Satu Pihak Dalam Perkahwinan Di Negeri Selangor’ bertarikh 18 April 2005 dikeluarkan dengan menyatakan:

  • Harta sepencarian selepas kematian salah satu pihak dalam perkahwinan di Selangor boleh dibahagi kepada suami atau isteri sebelum difaraidkan termasuk setelah dilepaskan tanggungan si mati.
  • Pembahagian harta sepencarian itu hendaklah diberi mengikut takat sumbangan sama ada secara langsung atau tidak langsung dari kedua-dua pihak
  • Persetujuan pembahagian hendaklah dibuat melalui perintah mahkamah.

Berbahagialah seorang isteri jika perkongsian hidup dalam rumahtangga bersama suami tercinta berakhir dengan kematian suaminya. Inilah suatu manifestasi kepada frasa “cinta hingga hujung nyawa”. Balu tidak harus selamanya pilu, bahkan dijamin haknya melalui hukum faraid yang padu.

Dua hak kewangan yang eksklusif kepada balu ialah memperolehi harta suaminya yang meninggal dunia melalui harta sepencarian dan agihan secara faraid. Ketahuilah hak sebagai seorang balu demi kelangsungan hidup yang lebih jitu.

  • Zahari Mahad Musa ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia [USIM].
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN