Unit Udara JBPM bantu wanita Orang Asli demam panas - Utusan Malaysia

Unit Udara JBPM bantu wanita Orang Asli demam panas

GERYON Angen dari Kampung Piyel, Pos Bihai, Gua Musang, Kelantan dibawa menaiki helikopter untuk menerima rawatan di Hospital Gua Musang, hari ini. - IHSAN BOMBA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan penerbangan pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang wanita Orang Asli yang mengalami demam panas kritikal ke Hospital Gua Musang, hari ini.

Wanita itu, Geryon Angen, 23, yang tinggal di Kampung Piyel, Pos Bihai dekat sini yang sedang hamil anak kedua mengalami demam panas sejak seminggu lalu dan memerlukan rawatan segera di hospital.

Juruterbang, Faridullahamin Mohd. Noh memberitahu, pihaknya berlepas dari Pangkalan Udara Subang, Selangor pada pukul 9.20 pagi menggunakan helikopter Agusta Westland 139 dan selamat mendarat di Kampung Piyel pada pukul 10.50 pagi.

“Pihak kami menerima permohonan penerbangan Medevac daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Gombak, pada pukul 6 petang semalam.

“Sebaik sahaja mendarat di Kampung Piyel 10.50 pagi, pesakit sudah bersedia di rumah dan terus diusung menaiki helikopter. Geryon ditemani suaminya, Heranwak Alang, 25,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Faridullahamin, pesakit tidak dapat dibawa ke hospital menggunakan jalan darat kerana terkandas akibat jalan balak rosak kerana hujan lebat di kawasan pedalaman.

Katanya, penerbangan itu turut dibantu penolong juruterbang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd. Azuna Mohamed Sabri bersama empat lagi anggota.

“Pesakit selamat mendarat di pekarangan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang pada pukul 11.15 pagi sebelum dihantar ke hospital.

“Kita bersyukur tugas menyelamat wanita itu berjalan lancar kerana cuaca baik dan tidak hujan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN