KUALA LUMPUR: UMNO perlu melihat perjuangan bangsa Melayu dan negara yang menjadi tunjang parti itu secara kolektif dan bukan hanya kepada kuasa atau kepentingan sendiri semata-mata.
Penganalisis politik Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Kartini Aboo Talib berkata, UMNO perlu menerima hakikat, dalam situasi politik sekarang, formula membentuk kerajaan tidak boleh bergerak secara sendirian, tanpa permuafakatan.
Katanya, UMNO hanya dilihat lebih kepada cubaan bermain ‘tarik tali’ dan menjadikan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) sebagai tempat ujian semata-mata.
“UMNO adalah parti yang telah berakar dengan cawangan seluruh negara. UMNO memang telah ada penyokong setia sendiri.
“Cuma UMNO akan lebih kuat bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ada kemungkinan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan mereka terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, Kartini berkata, kenyataan Mohd. Puad hanya dilihat lebih kepada bersifat peribadi.
Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, dalam keadaan sekarang, kepemimpinan UMNO perlu ada ‘satu suara’ bagi memastikan keputusan muktamad dapat dibuat sama ada mahu meneruskan kerjasama dengan PN atau tidak.

“Apabila Mohd. Puad atau pemimpin lain mengeluarkan sebarang kenyataan, kita perlu lihat adakah ia juga pendirian bersama akar umbi?
“Atau adakah ia hanya bersifat peribadi? Yang penting UMNO perlu ada ‘satu suara’ yang jelas dalam hubungan kerjasama dengan PN,” katanya. -UTUSAN










