Tun M masih impikan PPSMI - Utusan Malaysia

Tun M masih impikan PPSMI

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dilihat masih mengimpikan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dikembalikan dalam sistem pendidikan negara.

Membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat, beliau berkata, oleh kerana bidang tersebut tidak statik dan berubah-ubah, pembelajaran dalam bahasa Melayu yang memerlukan penterjemahan berhadapan pelbagai kesukaran.

Katanya, negara juga tidak mempunyai tenaga kerja yang cukup untuk menterjemah berikutan proses itu memerlukan pakar sains yang mahir dalam kedua-dua bahasa.

“Di zaman ini ilmu sains dan matematik adalah penting. Ilmu-ilmu ini tidak statik tetapi berubah-ubah sepanjang masa hasil kajian yang dibuat oleh para penyelidik. Hampir semua dari kajian ini disedia dalam bahasa Inggeris. 

“Menterjemah ke dalam bahasa kebangsaan memerlukan pakar sains yang terpelajar dalam ilmu sains serta fasih dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Oleh kerana ilmu-ilmu baru ini amat banyak dan luas, penterjemahan memerlukan ramai pakar sains dalam bahasa-bahasa berkenaan. 

“Kita tidak ada penterjemah seperti ini. Sebaliknya, jika ilmu sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris, penuntut boleh akses semua ilmu baru yang relevan sendiri tanpa pakar penterjemahan,” katanya ketika berucap membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatan kuasa bagi Kementerian Pendidikan di Dewan Rakyat.

PPSMI yang diperkenal Dr. Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri keempat dimansuhkan pada tahun 2012.

Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), terdapat ura-ura bahawa kerajaan ketika itu mahu memperkenal semula sistem berkenaan.

Belanjawan Kementerian Pendidikan bernilai RM50.4 bilion diluluskan secara suara majoriti tanpa tentangan meskipun ketika perbahasan, Dr. Maszlee Malik (Bebas-Simpang Renggam) meminta semua ahli parlimen menolaknya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya