Tiga  bongkah batu besar jatuh halang laluan Bukit Fraser - Utusan Malaysia

Tiga  bongkah batu besar jatuh halang laluan Bukit Fraser

BONGKAH batu besar dan tanah yang runtuh di jalan ke Bukit Fraser berhampiran Kampung Tras di Raub, Pahang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUB: Selepas pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta di jalan ke Bukit Fraser kelmarin, hari ini laluan ke tanah tinggi itu kembali terhalang apabila berlaku tanah runtuh.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.51 pagi itu berlaku tanah runtuh yang melibatkan tiga bongkah batu besar beserta tanah jatuh di Jalan Bukit Fraser berhampiran Kampung Tras di sini.

Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Shahrul Nizam Nasir berkata, kejadian berkenaan menyebabkan jalan berkenaan terhalang akibat ditimbuni tanah dan juga bongkah batu. 

“Tiada kemalangan jiwa dan mangsa dalam kejadian itu dan jalan berkenaan ditutup kerana tiada ruang dan berisiko kepada pengguna.

“Bongkah batu agak besar dan perlukan penilaian kaedah yang bersesuaian kerana dikhuatiri jentera jengkaut tidak berupaya mengalihkan batu tersebut,” katanya di sini, hari ini.

Tambah Shahrul Nizam, pada masa ini, Jabatan Kerja Raya (JKR) masih menilai kaedah bersesuaian untuk memecahkan batu berkenaan.  

Kelmarin sebatang pokok tumbang dan menghempap sebuah kereta yang sedang dipandu seorang lelaki menuju ke arah Fraser Hill di Jalan Tranum-Bukit Fraser.

Bagaimanapun mangsa yang berusia 27 tahun bernasib baik apabila terselamat dan tidak mengalami kecederaan dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya