PUTRAJAYA: Cruise Tasik Putrajaya (CTP) dibuka semula selepas `bercuti’ sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan menawarkan tiket serendah RM10 bagi menaiki bot persiaran.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zaharah Salamat berkata, ini termasuk potongan diskaun sehingga 50 peratus bagi pakej-pakej dan produk-produk terpilih selain pelbagai promosi hebat lain.
Beliau berkata, promosi turut merangkumi tempahan acara seperti private dining, Love Boat, majlis perkahwinan atau lain-lain acara dalam Cruise.
“Tawaran CTP adalah bagi membantu meningkatkan hasil jualan terutama bagi pengunjung atau kumpulan staf sektor swasta dan agensi-agensi kerajaan.
“Kami berharap pelancong-pelancong domestik berkunjung ke CTP bagi membantu jualan pakej dan produk kami, sekali gus membantu meningkatkan pelancongan negara,” katanya semalam.
Menurut beliau, pembukaan semula pusat tarikan itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi menjamin keselamatan pelanggan-pelanggan terutama membabitkan pandemik Covid-19.
Justeru, katanya, orang ramai tidak perlu ragu-ragu mengunjungi Putrajaya dan CTP kerana ia beroperasi mengikut SOP ketat.
Menurut beliau, sepanjang tempoh PKP dan PKPB lalu, CTP mencatatkan kerugian hampir RM2.5 juta kerana tidak beroperasi.
Katanya, ini termasuk penurunan jumlah pengunjung secara drastik iaitu merekodkan hanya 35,876 orang pada tahun ini setakat bulan lalu berbanding 163,057 orang berbanding tahun lepas.
“Segala aktiviti perniagaan terjejas dan ini memberi impak besar kepada CTP terutama kehilangan jumlah kedatangan pengunjung antarabangsa berikutan penutupan sempadan negara.
“Kesannya turut dirasai apabila terdapat larangan aktiviti berkaitan pelancongan, perniagaan acara, aktiviti rekreasi dan riadah yang merupakan perniagaan utama CTP,” katanya. – UTUSAN ONLINE










