Suami isteri jual pakaian tiruan secara online diserbu - Utusan Malaysia

Suami isteri jual pakaian tiruan secara online diserbu

RIZQ Fazliana Abd. Hamid (tiga dari kanan) menunjukkan pakaian yang dirampas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Muar di sebuah stor di Bandar Tangkak, Johor. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Pasangan suami isteri yang didapati mengaut keuntungan dengan menjalankan menjual pakaian berjenama tiruan secara dalam talian kini berputih mata selepas perniagaan mereka diserbu Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Muar, di sini semalam.

Ketuanya, Rizq Fazliana Abd. Hamid berkata, dalam serbuan pukul 2 petang itu, pihaknya merampas 5,085 unit pakaian pelbagai jenama yang disyaki tiruan dengan menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan secara salah.

“Serbuan dilakukan berikutan aduan daripada wakil pemilik cap dagang serta risikan selama seminggu ke atas aktiviti penjualan pakaian itu yang dilakukan secara dalam talian. Stor yang terletak di Bandar Tangkak itu dipercayai dijadikan pusat pengumpulan, pembungkusan dan pengedaran.

“Modus operandi mereka ialah mengiklankan pakaian itu menerusi siaran langsung di Facebook (FB Live) sebelum dijual kepada pembeli. Pembeli perlu membuat pesanan semasa siaran langsung di Facebook,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Muar, di sini hari ini.

Menurut Rizq Fazliana, pakaian berjenama terkenal itu dijual pada harga sekitar RM10 dengan minimum dua helai pembelian dan penghantaran percuma bagi 10 helai pembelian.

“Hasil maklumat mendapati perniagaan ini baru dijalankan sejak awal tahun ini sewaktu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kami menahan lelaki warga tempatan berusia 40-an dan isterinya warga Vietnam berusia 30-an untuk diambil keterangan. Kesemua rampasan bernilai RM61,000,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan denda yang mana jika individu itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar itu.

“sekiranya orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, dia boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang-barang yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Kesemua pakaian dijual adalah jenis baju tidur, pakaian kanak-kanak dan jersi. Kita masih menyiasat penglibatan individu lain dalam perniagaan ini bagi mengenal pasti status perniagaan sama ada dijalankan secara berkelompok atau persendirian,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya