KANGAR: Pembeli rumah kedai di Taman Putra Utama di Jalan Raja Syed Alwi, di sini boleh membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Perumahan Negara berhubung masalah pembangunan itu yang masih gagal disiapkan walaupun dijadualkan boleh diduduki pada 2017.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Azizan Sulaiman berkata, bahagian tersebut diwujudkan bagi memastikan pemaju perumahan mematuhi Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 [Akta 118] dan peraturan-peraturannya.
Katanya, ia bagi memastikan kepentingan pembeli rumah terjamin melalui penguatkuasaan undang-undang dengan cekap dan berterusan.
“Kes ini boleh juga dibawa kepada Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) jika pemaju ada memohon strata. Terdapat keperluan meneliti dahulu perjanjian pembelian bagi mengenal pasti sama ada pemaju ada memohon.
“Sekiranya tiada strata, ia perlu dikendalikan secara kes sivil,” katanya ketika kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan keluhan pembeli rumah kedai tersebut yang sudah lima tahun membayar ansuran bulanan sehingga mencecah RM5,000, namun 11 unit lot rumah kedai dua dan tiga tingkat itu yang mula dibina pada November 2015 belum siap sepenuhnya.
Lebih mengecewakan apabila sebarang maklumat mengenai projek tersebut tidak dikongsi bersama pembeli sekali gus membuatkan mereka terus tertanya-tanya bila rumah kedai itu boleh diduduki.
Malah, pembeli terkilan kerana lot rumah kedai tersebut dijadikan rumah kongsi bagi pekerja warga asing yang bekerja di kawasan tapak projek berhampiran.
Mengulas mengenai dakwaan berkenaan, Azizan berkata, tindakan tidak dapat diambil berhubung perkara terbabit selagi tiada penyerahan kunci lot rumah kedai itu dibuat kepada pembeli.
“Mungkin pihak pemaju itu ada perjanjian dengan pembangunan berhampiran kawasan tersebut. Dari segi itu, kita tak boleh buat apa-apa kerana lot rumah kedai itu belum diserahkan kepada pembeli,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE










