Sah bukan daging babi, kanggaru - Utusan Malaysia

Sah bukan daging babi, kanggaru

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi melakukan pemeriksaan ke atas kilang daging sejuk beku di Taman Perindustrian Idaman di Senai pada 1 Disember lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bukan daging kuda, babi atau kanggaru seperti yang diheboh-hebohkan, sebaliknya daging kambing, lembu, angsa dan ayam.

Itu disahkan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi kepada Utusan Malaysia melalui keputusan ujian DNA terhadap sampel daging yang dirampas dari sebuah syarikat pengimport daging sejuk beku di Johor Bahru, awal bulan ini.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu kartel yang menggemparkan tanah air, termasuk menjalankan analisis DNA terhadap daging-daging tersebut.

Justeru, Isnin lalu, Jabatan Kimia melakukan analisis sebelum mendapati sampel DNA daging import tersebut bukanlah daging kanggaru, babi dan kuda seperti didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, Alexander memaklumkan, dapatan analisis terkandung DNA kambing, lembu, angsa dan ayam.

“Hasil analisis Jabatan Kimia diperoleh pada 28 Disember menunjukkan tiada DNA daging kanggaru, babi atau kuda dalam sampel daging import disita.

“Apa ditemui DNA daging kambing, lembu, angsa dan ayam,” katanya.

Pada 23 November lalu, sebuah akhbar membuat pendedahan berkaitan kegiatan syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses import daging sejuk beku halal menyeludup daging secara haram ke Malaysia.

Susulan laporan tersebut, pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang membekal daging sejuk beku di Senai, Johor pada 1 Disember.

Rampasan tersebut kemudian mengundang pelbagai spekulasi termasuk daging import itu adalah daging babi, kanggaru atau daging kuda.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, bagi memastikan pengguna mendapatkan sumber daging sejuk beku import halal dan tidak diragui, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyediakan platform semakan untuk mengesahkan sumber daging yang dibeli.

“Pengguna juga boleh membuat semakan jenama dan perihalan produk di laman web Halal JAKIM bagi memastikan daging sejuk beku import itu dibawa masuk oleh syarikat pengimport yang disahkan dan diiktiraf JAKIM.

“Pastikan produk berkenaan menepati piawaian pembungkusan produk yang lengkap dengan perihalan atau keterangan mengenai produk, sebagai contoh, negara sumber produk berkenaan dibawa masuk,” katanya.

Kemuncak kepada isu tersebut, sepasang suami isteri yang juga pengarah syarikat pembekal daging, didakwa di Mahkamah Sesyen di Johor Bahru semalam atas tuduhan menggunakan logo halal tanpa perakuan.

Tertuduh, Rahman Sheikh Abdullah, 44, dan Raihanah Kassim, 42, pemilik Raihanah Cold Storage Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah atas kesalahan itu yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim, Mohamad Haldar Abdul Aziz. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×