Resah rumah retak - Utusan Malaysia

Resah rumah retak

MOHD. Shafie Mukhatar menunjukkan keadaan rumahnya yang retak di Taman Bukit Kempas, Jelebu, Negeri Sembilan. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: Beberapa buah keluarga di Taman Bukit Kempas, dekat sini bimbang rumah yang diduduki mereka retak ekoran hakisan tanah susulan hujan lebat, Khamis lalu.

Kejadian hakisan tanah tersebut menyebabkan lima buah rumah mengalami keretakan di bahagian dapur dan rata-rata penduduk yang terlibat bimbang sekiranya hujan lebat berlaku keadaan itu menjadi semakin teruk.

Seorang penduduk terlibat, R. Sasvin, 19, berkata, rumah yang diduduki keluarganya sejak lapan tahun lalu mengalami keretakan yang agak teruk.

“Pada pukul 9 malam Khamis lalu, hujan lebat dan semasa sedang menonton televisyen, kami mendengar ada bunyi retakan dan batu pecah.

“Kami kini risau kerana hampir keseluruhan belakang dapur sudah retak. Kami mula membuka semua lampu bagi mengelakkan litar pintas sekiranya hujan lebat berlaku,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia dekat sini, baru-baru ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Shafie Mukhatar, 35, berkata, kali terakhir kejadian seperti itu berlaku adalah pada 2016 namun ketika  tidak seteruk kali ini.

“Saya khuatir kolam di belakang rumah yang dimiliki tuan tanah itu antara puncanya kerana sebelum ini tiada kolam berke­naan. Sejak dua tahun lalu, terdapat dusun di kawasan tersebut.

“Sepatutnya pemilik tanah membuat teres terlebih dahulu namun tiada sebarang tindakan diambil. Saya terpaksa membina sendiri lantai kon­krit dengan menggunakan kos RM15,000 bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Kempas, Mohd. Yusnizam Yusran berkata, penduduk di situ berada dalam keadaan risau dan resah setiap kali hujan lebat.

“Jangan berlaku kejadian buruk baru hendak ambil tindakan. Sekarang ini musim tengkujuh, jika tidak dibaiki atau diambil perhatian mungkin semakin teruk dan mengeluarkan belanja lebih besar.

“Saya berharap aduan penduduk ini dapat perhatian. Jika perlu, kawasan belakang dapur rumah yang terlibat perlu ditambak dan diselamatkan untuk mengelakkan bencana lebih buruk,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN