SEREMBAN: Seorang anggota polis ditahan susulan insiden seorang kelindan lori yang didakwa dipaksa ‘meninggalkan’ dua guni bawang sebelum dibenarkan melepasi sekatan jalan raya di Plaza Tol Senawang, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima laporan semalam kira-kira pukul 9.44 pagi yang mendakwa bahawa pengadu telah ditahan semasa melalui susur Tol Senawang kerana tidak dapat mengeluarkan surat majikan.
Katanya, pada waktu itu, pengadu telah diminta untuk membuat bayaran dan bagi menggantikan bayaran pengadu diminta menyerahkan bawang yang berada di dalam lori pengadu.
“Bertindak atas maklumat siasatan terperinci telah dijalankan dan tangkapan ke atas suspek iaitu seorang anggota polis telah dibuat pada hari sama pada pukul 12 tengah hari di Senawang
“Kes disiasat dibawah seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan. Pihak polis juga akan menjalankan siasatan secara terperinci tanpa sebarang kompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Satu portal berita hari ini yang memetik sumber melaporkan, kelindan lori tersebut telah membuat laporan polis di Shah Alam kelmarin.
Difahamkan insiden itu berlaku pada pukul dua petang ketika lelaki berusia 26 tahun itu dan pemandu lori tersebut dalam perjalanan dari Shah Alam, Selangor untuk mengedarkan bawang dan ubi kentang di sekitar Seremban dan Senawang.
Difahamkan, lori tersebut tidak dibenarkan melepasi sekatan jalan raya dekat Plaza Tol Senawang, kerana didakwa gagal menunjukkan surat kebenaran perjalanan oleh polis dan lelaki itu kemudian didakwa diminta untuk membayar RM200.
Bagaimanapun, memandangkan tidak mempunyai duit sebanyak itu, anggota polis terbabit didakwa meminta mereka memberi 10 guni bawang kepada semua anggota yang bertugas di situ namun ia dikurangkan kepada dua guni bawang. – UTUSAN ONLINE










