Perlombongan NR-REE sumber ekonomi baharu negara - Utusan Malaysia

Perlombongan NR-REE sumber ekonomi baharu negara

SHAMSUL ANUAR NASARAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan aktiviti perlombongan dan pengurusan sumber asli di negara ini dilaksanakan secara mampan menerusi Perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) sebagai salah satu sumber ekonomi baharu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ketika ini, kerajaan sedang menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk perlombongan menerusi NR-REE yang merangkumi keseluruhan rantaian nilai mineral daripada perlombongan sehingga kepada pengurusan sisa dan penutupan lombong secara progresif.

Justeru itu, katanya, beberapa perundangan berkaitan iaitu Akta Pembangunan Mineral 1994, Akta Penyiasatan Kajibumi 1974, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Enakmen Mineral Negeri-Negeri perlulah menyokong segala aspek pengurusan yang akan dijalankan nanti.

“Dalam hal ini, kementerian mengadakan sesi konsultasi dengan semua pihak berkepentingan yang terdiri daripada kerajaan negeri, agensi-agensi Persekutuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil industri untuk memuktamadkan SOP NR-REE berkenaan.

“Ini juga bagi memastikan kelestarian alam sekitar, keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta kesejahteraan masyarakat di sekitar kawasan perlombongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada kajian tinjauan yang dijalankan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) bahawa sumber mineral negara dianggarkan berjumlah RM4.11 trilion merangkumi mineral berlogam, mineral bukan logam dan mineral.

Antara lain, daripada unjuran tersebut, sumber NR-REE di negara ini berjumlah 15.188 juta tan metrik bernilai RM741 bilion yang kebanyakannya terdapat di Kedah, Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor.

Beliau berkata, pematuhan SOP NR-REE adalah syarat utama sebelum memulakan sebarang perlombongan yang dikawal melalui Skim Pengendalian Melombong (OMS) oleh JMG manakala Jabatan Perhutanan Negeri juga berperanan dalam memastikan tiada perlombongan NR-REE dijalankan tanpa kelulusan teknikal selain tiada sebarang aktiviti perlombongan dilakukan di kawasan hutan simpan kekal.

“Ini juga dapat mengelakkan insiden pencemaran yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan masyarakat. Walaupun pengeluaran permit untuk penerokaan mineral terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, proses saringan dan tapisan perlu dijalankan bagi memastikan semua syarat dipatuhi sebelum kelulusan diberikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya