Perlis kembali dingin, nyaman - Utusan Malaysia

Perlis kembali dingin, nyaman

SEORANG penduduk Kampung Lama, Guar Sanji, Arau, Perlis, Noor Irwan Kamis bersama anaknya memakai baju sejuk ekoran suhu dingin ketika meninjau kawasan sawahnya di kampung itu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Fenomena cuaca sejuk kembali di seluruh Perlis dengan penurunan suhu direkodkan sehingga 23.1 Celsius pada waktu pagi dan suasana dingin tersebut dapat dirasai sepanjang hari dengan tiupan angin timur menyegarkan penduduk di negeri ini.

Malah, pada 12 Disember lalu, suhu minimum di negeri ini direkodkan serendah 22 darjah Celsius pada waktu pagi de­ngan purata sepanjang minggu ini mencatatkan antara 23.9 dan maksimum 29.7 Celsius.

Sebagai rekod, Perlis pernah mencatatkan cuaca paling sejuk sehingga 16.1 darjah Celsius iaitu pada 4 Februari 2004.

Seorang penduduk dari Kampung Lama, Guar Sanji di sini, Noor Sham Kamis, 35, berkata, suhu sejuk dirasai sejak awal bulan lalu malah kedinginan itu sehingga tengah hari.

Katanya, pada awal pagi, ke­sejukan itu sangat dirasakan menyebabkan dia terpaksa memanaskan air untuk mandi.

Bagaimanapun, dia cukup teruja dan menantikan suasana seperti itu memandangkan Perlis selalunya berdepan cuaca panas iaitu lazimnya sehingga mencecah 36 hingga 40 darjah Celsius.

“Setiap hujung tahun sehingga Januari kita lazimnya menikmati cuaca sejuk dan nyaman ini. Selepas berpanas, musim sejuk dan tiupan nyaman angin timur amat dinantikan oleh rakyat negeri ini ,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Romzi Mohd. Rejab, 44, pula berkata, sejak semalam dia merasakan cuaca agak sejuk dan menjelang tengah hari serta petang, suasana juga masih nyaman.

“Pada sebelah malam sekarang terpaksa menggunakan selimut tebal dan lebih selesa tidak membuka kipas ketika tidur. Kami sangat menikmati suasana seperti ini,” katanya.

Seorang tukang masak, Azizi Abu Bakar,38, pula berkata, dia memakai baju tebal ketika berulang-alik ke tempat kerja pada waktu pagi serta malam kerana cuaca sejuk.

“Ketika pulang dari kerja pada waktu tengah malam, saya mengigil kesejukan tambahan pula menaiki motosikal. Suasana di Perlis ini sangat unik, kita melalui cuaca yang amat panas dan akhir tahun pula cuaca yang sangat sejuk,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Meteorologi negeri, Mohd Saharudi Saad berkata, suhu sentiasa menunjukkan perubahan setiap hari dengan mininum direkodkan pada Isnin dan Selalu lalu iaitu sehingga 23. 1 darjah Celsius sebelah pagi dan maksimum pula direkodkan sekitar 31 darjah Celsius pada pukul 4 petang.

Katanya, secara purata sepanjang minggu ini iaitu dari 15 hingga 21 Disember merekodkan antara 23.9 sehingga 29.7 darjah Celsius.

“Suhu paling minimum tahun ini direkodkan pada 12 Di­sember lalu iaitu 22 darjah Celsius. Fenomena cuaca dingin ini biasa setiap tahun dengan paling rendah pernah direkodkan pada 4 Februari 2004 iaitu mencecah 16.1 darjah Celsius,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN