Penduduk lega tangki air berkarat bakal dibaik pulih - Utusan Malaysia

Penduduk lega tangki air berkarat bakal dibaik pulih

TANGKI air di Blok 46, Desa Green, Jelutong, Pulau Pinang yang berkarat dan merbahaya kepada penduduk bakal dibaik pulih dalam masa terdekat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Selepas lebih 20 tahun diguna tanpa diselenggara sehingga dipenuhi karat, tangki air di Blok 46, Desa Green, Jelutong di sini  bakal dibaik pulih dalam tempoh terdekat.

Dua tangki air di Blok 46 itu yang dihuni lebih 1,000 penduduk dibaik pulih dengan kos RM197,000 menerusi peruntukan daripada Tabung Penyelenggaran Maksima 80 Pulau Pinang (TPM80PP).

Bendahari Persatuan Penduduk Desa Green, R.Varthar, 60, berkata, masalah tangki air yang berkarat dan bocor itu disedari pihak pengurusan bangunan berkenaan sejak tahun lalu.

“Tangki air ini sama usianya dengan bangunan flat ini iaitu 20 tahun dan sejak dibina tangki ini tidak pernah diselenggara.

“Tahun lalu,  pengurusan meninjau keadaan di dalam tangki air bekenaan dan mendapati keadaannya berkarat, bocor. Jika dibiarkan ia membahayakan penduduk,” katanya ketika ditemui di Desa Green, di sini semalam.

Menurut Varthar, tangki air berkarat itu juga menyebabkan penduduk mengalami masalah bekalan air yang berkarat dan kotor.

“Penduduk berulang kali mengadu mengenai masalah air berkarat ini kerana mereka bimbang membahayakan kesihatan.

“Persatuan penduduk dan pengurusan Desa Green mengemukakan permohonan kepada kerajaan negeri untuk membaiki tangki air ini pada Julai tahun ini,” katanya.

Tambahnya, pada 5 November lalu, pengurusan Desa Green menerima berita gembira yang mana permohonan mereka untuk mendapatkan peruntukan daripada TPM80PP diluluskan.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM262.7 juta bagi projek-projek penyelenggaraan di kesemua perumahan awam dan swasta di seluruh negeri Pulau Pinang. 

“Kerja-kerja pembaikan tangki air yang bocor serta lain-lain kerja yang berkaitan di Blok 46 adalah bukti komitmen kerajaan negeri yang prihatin dengan masalah rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya