KUALA LUMPUR: Beberapa pelabuhan di Sarawak kebal dan dilindungi? Itulah persoalan mengenai kerancakan aktiviti menyeludup kepak ayam dan pelbagai barang lain seperti rokok dan arak dari negara jiran untuk dipasarkan di negeri itu dan Sabah.
Difahamkan, aktiviti berlarutan tiga tahun lalu membabitkan beberapa sindiket besar yang setiap satu dianggarkan mampu `buat duit’ antara RM1 juta sehingga RM3 juta sebulan.
Kiraan keuntungan ialah satu kontena membawa kepak ayam dan pelbagai barangan lain boleh mengaut keuntungan RM30,000 sehari.
Jadi kalau lebih banyak kontena yang `dilepas’ tanpa cukai lagi banyaklah keuntungan dikutip sindiket.
Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, modus operandi sindiket-sindiket tersebut ialah barang-barang yang dibawa masuk dikatakan hanya mengguna dokumen delivery order (DO) ‘koboi’ tanpa mengisytiharkan cukai barangan.
“Bayangkan, kontena diisytihar membawa sayuran tetapi di dalam DO barangan tersebut perlu disimpan di bawah -16 darjah Celcius. Di situ boleh tahu sama barangan tersebut adalah sayuran atau sebaliknya,” katanya.
Sumber berkata, aktiviti penyeludupan di beberapa pelabuhan di Sarawak seolah-olah sudah tidak mampu lagi dihalang dan ia disyaki dikawal beberapa sindiket besar yang berangkaian.
Menurut sumber, didakwa dalam sehari untuk sebuah pelabuhan lebih lima kontena membawa kepak ayam seludup dari negara jiran yang turut diragui status penyembelihannya.
Pasaran semua kepak ayam tersebut untuk penduduk Sarawak dan Sabah.
“Dari segi kepak ayam tidak mustahil apa yang berlaku di Johor Bahru membabitkan kegiatan penipuan label halal oleh kartel mengimport daging baru-baru ini turut berlaku di pelabuhan-pelabuhan di Sarawak,” dedah sumber itu semalam.
Sumber berkata, sindiket terbabit bukan hanya menyeludup kepak-kepak ayam tetapi pelbagai barangan lain seperti beras, rokok dan arak yang semuanya `lari cukai’.
Semua barang tersebut didakwa sengaja ‘dilepaskan’ pihak berkuasa yang sepatutnya memeriksa dan menyekat barangan diimport yang tidak bayar cukai atau diragui status `halal dan haram’ .
Sebaik terlepas pemeriksaan, semua barang tersebut disimpan di gudang-gudang di beberapa kawasan sekitar sebelum sindiket mengagihkan kepada peniaga di kedua-dua negeri tersebut.
Kata sumber, proses membawa barang seludup lancar kerana sindiket disyaki memberi `wang pelincir’ kepada penguat kuasa di pelabuhan.
“Ini yang membuatkan sindiket tidak gerun dengan penguat kuasa yang kawal sempadan yang sudah jadi `boneka’.
“Lebih teruk barangan tersebut dibawa keluar dari pelabuhan berkenaan secara terang-terangan,” kata sumber.
Sindiket tersebut didakwa akan ‘mencuci’ wang hasil aktiviti haram dengan melabur di dalam sektor pelancongan dan perhotelan.
Berikutan banyak isu dan persoalan yang berlaku di beberapa pelabuhan Sarawak, difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat sejauh mana penglibatan penguat kuasa dalam kegiatan tersebut.- UTUSAN









