Pasar Segar Terkawal catat nilai jualan RM409.16 juta sepanjang PKP - Utusan Malaysia

Pasar Segar Terkawal catat nilai jualan RM409.16 juta sepanjang PKP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sejumlah 48 Pasar Segar Terkawal (PST) kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara mencatat nilai jualan sebanyak RM409.16 juta sejak Mac hingga November lalu. 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, PST diwujudkan bagi memastikan kelangsungan bekalan dan pengedaran makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, kelebihan PST adalah menawarkan produk pada harga lebih rendah kerana tidak melibatkan orang tengah.

“Antara yang dijual di PST seluruh negara ialah sayur-sayuran, buah-buahan, ayam, ikan dan daging yang segar dan bermutu serta produk industri kecil dan sederhana (IKS).

“PST dibuka mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan rakyat berbelanja dalam keadaan selamat dan terkawal,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat PST Permas Jaya, di sini hari ini. 

Yang hadir sama Ahli Lembaga Pengarah FAMA, Datuk Ghazale Muhamad dan Pengarah FAMA negeri, Shahrizan Sudiman.

Ahmad berkata, FAMA belum bercadang menambah bilangan PST tahun depan kerana jumlah sedia ada ketika ini mencukupi walaupun mendapat sambutan menggalakkan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pihaknya tidak menolak membuka PST di kawasan baharu sekiranya terdapat permintaan tinggi bagi memastikan rantaian pembekalan makanan dan keperluan orang ramai dipenuhi.

“Di Johor, terdapat lima PST yang melibatkan 273 usahawan dengan nilai jualan RM26 juta iaitu PST Datin Halimah dan PST Permas Jaya di Johor Bahru, PST Bukit Gambir (Muar) serta PST Mersing dan PST Endau (Mersing),” katanya.

Beliau berkata, nilai jualan PST di Johor sejak Mac lalu menunjukkan peningkatan setiap bulan iaitu RM41,233 pada Mac, RM342,556 (April), RM652,224 (Mei), RM321,778 (Jun), RM252,442 (Julai), RM282,566 (Ogos), RM224,760 (September), RM265,122 (Oktober) dan RM280,013 (November),” ujarnya lanjut.

Kata beliau, FAMA turut menyediakan platform jualan secara dalam talian menerusi portal Agrobazaar Online yang mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan masyarakat.

“Di negeri ini sahaja, produk PST yang dijual secara dalam talian melibatkan nilai jualan sebanyak RM242,000,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya