Pas sedia berkompromi bentuk kerajaan Perak - Utusan Malaysia

Pas sedia berkompromi bentuk kerajaan Perak

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Pas tidak menolak kemungkinan  berkompromi dengan pendirian awal parti itu yang sebelum ini  tidak berhasrat menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri baharu di Perak.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu mungkin diambil bagi memastikan Muafakat Nasional (MN) tidak terjejas dan Perak tidak jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH).

Lebih-lebih lagi kata beliau, pihaknya menyedari UMNO masih gagal mencapai majoriti di Perak dan dalam keadaan negara berdepan Covid-19, pilihan raya negeri tidak sepatutnya berlaku.

“Jadi Pas mungkin akan berkompromi untuk memelihara kesepakatan dan MN.  Apa pun yang berlaku di Perak kita perlu duduk bersama supaya PH tidak ambil balik kerajaan negeri itu.

“Apa-apa masalah kita bincang. Pas berlapang dada dengan pandangan rakan dalam kerajaan, kita cari jalan penyelesaian, bukan buat masalah.. itu penting,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau meninjau Tidal Gate Gong Kulim bersama Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi serta Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Mohamad Zawawi Salleh.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Jumaat lalu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar gagal mendapat sokongan majoriti  ahli dewan dalam undi usul percaya terhadap beliau.

Susulan penyingkiran Ahmad Faizal, Pas dalam kenyataan rasminya menegaskan tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan negeri baharu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, Pas akan mengadakan pertemuan dengan UMNO untuk mencari formula penyelesaian terbaik bagi kemelut itu.

Beliau dalam pada itu menegaskan, Pas akan kekal istiqamah dengan prinsip dipegang parti ketika ini iaitu untuk terus mempertahankan PN dan pada masa yang sama, memperkukuhkan MN.

Malah kata beliau, hubungan Pas dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO setakat ini kekal akrab.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya