Negeri yang 'berkorban' jaga hutan, kawasan tadahan air perlu diberi pampasan  - Utusan Malaysia

Negeri yang ‘berkorban’ jaga hutan, kawasan tadahan air perlu diberi pampasan 

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Saranan supaya Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah yang ‘berkorban’ untuk tidak meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda di negeri itu adalah cadangan yang baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, apa diharapkan saranan itu tidak hanya tertumpu di Kedah sebaliknya perlu menyeluruh melibatkan semua pihak dan negeri-negeri lain yang turut ‘berkorban’ menjaga hutan demi kawasan tadahan air.

“Di Pahang misalnya, jumlah kawasan diwartakan sebagai kawasan tadahan air di negeri ini setakat ini ialah seluas 258,951.88 hektar. 

“Sememangnya aspek pemuliharaan hutan dan kawasan tadahan air menjadi keutamaan kerajaan negeri, khususnya dalam memastikan jumlah hutan di Pahang yang setakat ini 57 peratus melebihi keluasan tanah di negeri ini terus berada di tahap tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyarankan Pulau Pinang menyumbang dalam bentuk kewangan kepada Kedah selepas kerajaan negeri itu ‘berkorban’ untuk tidak meneroka kawasan tadahan air Ulu Muda. 

Tuan Ibrahim menjawab pertanyaan Chow Kon Yeow (PH-Tanjong) pada sidang Dewan Rakyat semalam yang ingin tahu tindakan dan perancangan kementerian bagi memelihara kawasan tadahan air Ulu Muda, termasuk mengelakkan pencemaran di Sungai Muda.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, permintaan bekalan air semakin meningkat sejajar dengan pertambahan penduduk, namun sumber air mentah semakin berkurangan akibat pemusnahan kawasan tadahan air. 

“Ini menyebabkan kuantiti air mentah berkurangan dan bagi negeri yang tidak menjaga hutan demi pembangunan, negeri-negeri yang berkorban menjaga hutan dan kawasan tadahan air yang menyumbang sumber air. 

“Jika disebut soal kemajuan, semua negeri mahu maju dengan melaksanakan aspek pembangunan termasuk melakukan penerokaan hutan, tetapi Kerajaan Negeri Pahang sanggup berkorban untuk kepentingan sumber air kepada negeri lain. 

“Jadi, adalah sewajarnya Kerajaan Negeri Pahang juga menerima pampasan sewajarnya daripada pengorbanan yang dibuat itu,” katanya. 

Beliau berkata, jika diberi lampu hijau, kerajaan negeri akan membuat kajian terperinci berhubung jumlahnya dan beliau sekali lagi menegaskan agar saranan itu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya dalam konteks negeri Kedah sahaja. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.