fbpx

Motosikal paling banyak guna nombor plat tidak ikut spesifikasi

AZISMAN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 365,410 saman dikeluarkan terhadap pemilik kereta, motosikal, lori, van dan kenderaan pacuan empat roda (4WD) di seluruh negara sejak 2019 hingga 15 Disember lalu atas kesalahan menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias memberitahu Mingguan Malaysia, daripada jumlah itu, sebanyak 183,509 saman dikeluarkan sejak awal tahun ini sehingga minggu lalu.

“Berdasarkan statistik yang dikeluarkan pihak JSPT, penunggang motosikal dikesan paling banyak menggunakan nombor plat fancy ini apabila sebanyak 226,142 saman dikeluarkan kepada mereka.

“Sebanyak 118,372 saman dikeluarkan kepada pemilik kereta diikuti pemandu 4WD (12,632), lori (5,081) dan van (3,047) serta lain-lain kenderaan (136),” katanya di sini semalam.

Katanya, statistik itu menun­jukkan pemilik kenderaan me­ngambil mudah isu tersebut sedangkan ia adalah kesalahan yang paling mudah untuk dihindari.

“Mana-mana pemilik kenderaan sama sekali tidak akan terlepas daripada tindakan saman sekiranya mereka didapati menggunakan nombor plat tidak mengikut spesifikasi diluluskan kerajaan,’’ tegas beliau.


Pada 15 Disember lalu, Utusan Malaysia melaporkan polis Johor akan memburu semua pemilik kenderaan yang menggunakan nombor plat kenderaan tidak mengikut spesifikasi atau fancy tanpa diskriminasi termasuk pegawai dan anggota polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Picthay berkata sebanyak 9,985 saman dikeluarkan di negeri ini bagi kesalahan nombor pendaftaran fancy bermula Januari hingga semalam.

Jika sabit kesalahan, pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 ( 4) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dibaca bersama Seksyen 119 akta yang sama.

Bagi kesalahan pertama, pesalah boleh didenda tidak me­lebihi RM3,000 atau penjara enam bulan manakala kesalahan kedua, denda tidak lebih RM4,000 dan penjara 12 bulan. -UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI