Mahkamah tetapkan 30 Mac bicara kes rogol Paul Yong - Utusan Malaysia

Mahkamah tetapkan 30 Mac bicara kes rogol Paul Yong

Paul Yong keluar dari bangunan mahkamah selepas Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh perbicaraan beliau di Ipoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 30 Mac hingga 9 April 2021 untuk memulakan perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong.

Hakim Datuk Hashim Hamzah menetapkan tarikh perbicaraan selama sembilan hari itu ketika kes berkenaan disebut semula di hadapannya hari ini.

Terdahulu pada prosiding tersebut, Datuk Rajpal Singh yang mewakili Choo Kiong, 50, telah membangkitkan isu mengenai kaedah pembuktian dan penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009 dalam kes tersebut.

Menurut beliau, pihak pembelaan menentang penggunaan akta berkenaan yang digunakan terhadap mangsa dan saksi selain Seksyen 265 (A) Kanun Tatacara Jenayah oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan melalui pautan video.

“Akta tersebut tidak pernah diguna pakai dalam kes melibatkan kesalahan seksual dan mengapa untuk pendakwaan ini, ia digunakan,” katanya. 

Bagaimanapun, Hakim Datuk Hashim berkata, sebarang pendengaran awal hanya akan didengar pada hari pertama perbicaraan.

“Hari ini saya hanya tetapkan tarikh, sebarang masalah lain saya akan dengar pada hari pertama perbicaraan,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ainul Wardah Shahidan berkata, pihaknya mempunyai 20 saksi pendakwaan manakala pembelaan memanggil tiga saksi selain memohon untuk menyediakan jurubahasa Indonesia yang boleh berdialek ‘sumbawa’ untuk mangsa sepanjang perbicaraan itu.

Perbicaraan ke atas Choo Kiong yang juga bekas Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak itu didengar di Mahkamah Tinggi di sini selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan perkara tersebut ketika bersidang pada 15 Disember lalu.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan akhir ADUN Bebas itu.

Choo Kiong merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 10 Februari lalu yang menolak rayuannya dengan keputusan majoriti serta memerintahkan perbicaraan didengar di Mahkamah Sesyen.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya