Macau Scam: Kerani rugi lebih setengah juta - Utusan Malaysia

Macau Scam: Kerani rugi lebih setengah juta

AIBEE AB. GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang kerani sebuah syarikat swasta di Tampin, dekat sini terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM693,900 apabila terjerat sindiket Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Aibee Ab. Ghani berkata, mangsa iaitu wanita berusia 59 tahun dihubungi ahli sindiket itu pada hujung Oktober lalu sehingga semalam.

Katanya, pada 27 Oktober lalu kira-kira pukul 9.30 pagi, mangsa yang berada di tempat kerja menerima panggilan daripada seorang lelaki yang tidak dikenali dengan membaca nama dan nombor kad pengenalannya dengan betul.

“Seperti biasa dalam kes Macau Scam seperti ini mangsa dimaklumkan terlibat dalam pengubahan wang haram dan ahli sindiket menakutkannya dengan menyatakan akan mengeluarkan waran tangkap.

“Mangsa yang ketakutan disambungkan taliannya kepada ‘Sarjan Tan dan ASP Yong’. Semasa perbualan mereka menakutkan-nakutkan lagi mangsa dan memintanya membacakan nama pengguna serta kata laluan akaun Public Bank mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aibee berkata, nama pengguna dan kata laluan itu digunakan ahli sindiket untuk mengeluarkan kesemua wang mangsa di dalam akaun iaitu sebanyak RM363,900.

Menurutnya, ahli sindiket juga meminta mangsa membayar duit jaminan sebanyak RM 260,000 dan bayaran guaman sebanyak RM70,000

“Mangsa memasukkan duit jaminan dan yuran guaman’ yang diminta itu ke dalam akaun Public Bank miliknya untuk dikeluarkan ahli sindiket. Ahli sindiket juga memberitahu mangsa untuk hadir ke Mahkamah Majistret Tampin pada 12 Disember untuk bicara kes berkenaan.

Menurutnya, selepas dihubungi ahli sindiket, mangsa menerima transaksi pengeluaran duit daripada akaun Public Bank kepada beberapa akaun yang tidak diketahui dan dimaklumkan pindahan wang tersebut bagi tujuan audit serta akan dikembalikan semula.

“Semalam, mangsa menerima panggilan dari individu dengan nama ‘DSP Chew’ meminta menambah wang jaminan sebanyak RM135,000 namun mangsa tidak membuat bayaran tersebut kerana tidak mempunyai wang lagi.

“Mangsa yang merasa diperdaya dan mengalami kerugian lebih setengah juta membuat laporan polis di Balai Polis Tampin. Kami harap agar orang ramai akan lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya sekiranya menerima panggilan telefon daripada individu menyamar sebagai polis,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.