Ladang Gatco: 38 terima geran hak milik tanah - Utusan Malaysia

Ladang Gatco: 38 terima geran hak milik tanah

 TEO Kok Seong menyampaikan geran hak milik tanah kepada penduduk Kampung Serampang Indah pada majlis penyampaian fasa kedua di Dewan Besar Pejabat Daerah Jempol, Jempol, Negeri Sembilan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: “Paling melegakan sebab ibu saya masih sempat memperoleh dan memegang sendiri geran hak milik tanah selepas lebih 40 tahun menunggu.”

Demikian ujar A. Kumaran, 44, anak sulung kepada R. Latchumy, 74, yang merupakan salah seorang penerima Hak Milik Tanah Kampung Serampang Indah (Gatco) Fasa 2, semalam.

Katanya, semalam adalah hari menggembirakan buatnya sekeluarga selepas penantian lebih 40 tahun akhirnya berkesudahan selepas pelbagai kemelut dan isu melibatkan hak milik tanah ladang di Kampung Gatco dapat diselesaikan.

“Masa saya umur dua tahun, ibu sudah beli tanah berkenaan namun selepas itu geran belum dapat kerana berlaku banyak perkara. Hari ini saya lihat ibu gembira, saya juga lega kerana ibu masih ada. Jika dia sudah tiada baru geran ini kami dapat, sudah tiada guna.

“Hari ini kami dapat geran untuk empat ekar (1.6 hektar) tanah ladang, difahamkan Risda mahu memajukan tanah tersebut untuk tanaman kelapa sawit jadi kami akan beri kerjasama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Tanah Kampung Serampang Indah (Gatco) Fasa 2 di Dewan Besar Pejabat Daerah dan Tanah Jempol, dekat sini semalam.

Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan,Teo Kok Seong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau.

Seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Hisam Khalil, 50, berkata, dia tidak menyangka isu berhubung tanah penduduk berkenaan dapat diselesaikan selepas berpuluh tahun berdepan kemelut.

“Saya mula masuk kampung ini dan membeli tanah pada  1998. Waktu itu memang sudah mula timbul pelbagai kemelut dan kes mahkamah mengenai tanah ini. Namun akhirnya ia dapat diselesaikan,” katanya yang menerima geran untuk tanah kebun seluas 0.8 hektar.

Sementara itu, Kok Seong berkata, seramai 38 penduduk menerima geran masing-masing menerusi fasa kedua pemberiannya selepas fasa pertama diberikan kepada 139 penerima.

“Isu tanah di Kampung Gatco ini sudah berlanjutan sejak sekian lama dan akhirnya kerajaan dapat menyelesaikan masalah ini.  Apa yang lebih penting bagaimana nanti tanah-tanah tersebut dapat diusahakan supaya akhirnya dapat memberikan pendapatan tambahan kepada mereka.

“Selepas ini akan ada lagi pembeli tanah di kampung berkenaan yang menerima geran tanah masing-masing dianggar melibatkan kira-kira 80 orang pembeli tanah berkenaan. Sepatutnya kesemuanya berbaki 133 orang namun ada yang tidak mahu menerima tawaran kerajaan negeri bagi menyelesaikan isu berkenaan. Bagaimanapun kerajaan negeri bersedia terbuka untuk berbincang dengan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, ketika berucap pada majlis berkenaan, Kok Seong meminta penduduk kampung berkenaan memanfaatkan sebaiknya tanah yang diperoleh setelah sekian lama mereka berusaha mendapatkannya.

“Bagi tujuan pembangunan tanah ini, saya sarankan bermuafakatlah dalam mengusahakannya, berbincang dengan agensi kerajaan seperti Risda untuk tujuan penanaman semula.

“Jagalah tanah ini dengan seelok-eloknya dan jangan biarkan ia terbiar dan akhirnya kelak menimbulkan pelbagai masalah sosial kepada masyarakat setempat pula,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.