KUALA LUMPUR: Kerajaan membina 61 menara komunikasi yang mampu memberikan liputan di kawasan perkampungan Orang Asli sehingga Oktober lalu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan juga menambah lapan lagi menara yang dijangka siap secara berperingkat bermula suku pertama tahun 2021.
“Dua menara dibina di Cameron Highlands iaitu di Pos Lemoi dan Pos Kg Telimau. Melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) (fasa 1), sebanyak 85 menara baharu dengan perkhidmatan 4G akan dibina di 136 kampung Orang Asli di seluruh negara dan dijangka mula pelaksanaannya pada suku kedua tahun 2021.
“Antara 85 menara itu, 11 berada di Cameron Highlands, 38 di negeri Pahang, 19 di Perak. Kami terus bekerjasama dengan pihak industri, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk merancakkan lagi soal penyediaan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) yang bertanya mengenai tahap liputan internet dalam kalangan komuniti Orang Asli dan rancangan untuk menambah baik perkhidmatan itu. – UTUSAN ONLINE









