Jom undi sokong KLIA antara terbaik dunia - Utusan Malaysia

Jom undi sokong KLIA antara terbaik dunia

KLIA akan dilengkapi dengan teknologi pengecaman wajah tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat negara ini diseru tampil mengundi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor dekat sini sebagai antara terminal udara terbaik di dunia.

Mesej kenyataan rayuan khas itu diterbitkan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) menerusi hantaran ringkas disiarkan dalam akaun media sosial rasminya semalam.

“Hari ini, ketika industri pelancongan udara berkembang, kami secara berterusan melakukan yang terbaik untuk mengekang impak alam sekitar dengan melaksanakan aneka inisiatif hijau.

“Undilah demi Malaysia dan pilihlah KUL untuk kategori Lapangan Terbang Terbaik di Skytrax 2021,” kata catatan pentadbir agensi berkenaan dengan tanda pagar #skytrax #KUL #airport.

Ia turut menyertakan rujukan pautan laman pengundian tersebut iaitu https://www.worldairportsurvey.com/Surveys/Airport/best_airport.html?fbclid=IwAR1yYyvcnVldt7wEqFPiaxeemqw4nskVtbtoVN2BMyRdNHtFgUUp3COtUp4

Namun, pemerhatian Utusan Malaysia mendapati, hantaran itu kurang sambutan dari netizen tempatan, sekali gus bakal menjejaskan peluang KLIA untuk disenaraikan dalam kelompok 10 terbaik.

Anugerah Lapangan Terbang Skytrax mula diperkenalkan sejak 1999 berdasarkan bancian bebas tahap kepuasan pengguna melibatkan lebih 500 buah terminal udara di seluruh dunia.

Dianggap ala Oscar bagi industri penerbangan awam global, anugerah berprestij itu tahun ini turut ada kategori baharu untuk lapangan terbang paling baik kekang pandemik Covid-19.

Penganjurnya, Skytrax berpusat di Britain turut buat penarafan tahunan untuk operator udara terbaik sejagat dan menjadi rujukan pelbagai pihak dalam sektor penerbangan antarabangsa.

Tahun ini, anugerah lapangan terbaik dunia kekal disandang Changi, Singapura manakala Haneda di Tokyo, Jepun merampas tempat kedua daripada Incheon, Seoul, Korea Selatan.

Kali terakhir KLIA memasuki dalam senarai terbaik ialah pada 2001 untuk muncul naib juara di belakang Chek Lap Kok, Hong Kong, China dengan Changi ketika itu di kedudukan ketiga.

Ironinya, KLIA tahun ini jatuh teruk ke-63 berbanding ke-54 pada 2019, ke-44 (2018), ke-34 (2017), ke-24 (2016), ke-19 (2015), ke-20 (2014), ke-14 (2013), ke-8 (2012) dan ke-9 (2011).

KLIA dibuka pada 1998 bersempena dengan Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada tahun itu bagi menggantikan fungsi Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor.

Terletak 45 kilometer di selatan Kuala Lumpur, hub terbesar di negara ini kekal kod lapangan terbang KUL dan diuruskan MAHB yang turut mengendalikan 38 terminal udara tempatan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.