ALOR SETAR: Harga bawang merah kecil di pasaran negeri ini mencecah RM16 sekilogram pada bulan ini berbanding RM12 November lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Wan Romani Wan Salim berkata, kebanyakan bawang tersebut dibawa masuk dari Pakistan.
Katanya, kenaikan harga bawang masih tidak dapat dielakkan berikutan ketiadaan bekalan dari India sejak beberapa tahun lalu.
“Walaupun bekalan bawang yang dijual di pasaran dibawa masuk dari negara-negara lain tetapi kenaikan harganya tidak dapat dielakkan,” katanya selepas merasmikan program Walkabout Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 di Pasar Raya Besar Mydin, Taman Saga di sini, hari ini.
Yang hadir sama Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Rae Morn Vera.
Wan Romani berkata, harga bawang merah besar dari Pakistan pada bulan ini pula ialah RM5 hingga RM10 sekilogram manakala harga pada.bulan lalu RM5 hingga RM11 sekilogram.
“Kerajaan India sebelum ini mengarahkan bekalan bawang tidak dieksport untuk memenuhi permintaan penduduk tempatan sejak Deepavali lalu.
“Keadaan ini menyebabkan empat syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk bawang dari India ke negeri ini tidak dapat berbuat demikian pada masa ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri meminta Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah melaksanakan pemantauan di lebih 52,000 premis perniagaan di Kedah bagi memastikan peniaga mematuhi skim harga maksimum musim perayaan Krismas tahun ini.
“Setakat ini tiada isu besar yang timbul dan kesemua 14 jenis barangan termasuk dalam skim tersebut didapati harganya terkawal serta jumlahnya mencukupi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











