Elak rugi, tempah secara mingguan - Utusan Malaysia

Elak rugi, tempah secara mingguan

JAMES Loke menunjukkan kasut sekolah yang dijual di kedainya di Jalan Lee Sam, Seremban, semalam. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Berbaki sebulan lagi sebelum sesi persekolahan 2021 dibuka namun aktiviti membeli barangan kelengakapan sekolah seperti baju dan kasut dilihat tidak serancak kebiasaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di Jalan Lee Sam, dekat sini yang menempatkan beberapa kedai pakaian sekolah mendapati, suasana lengang dengan kebanyakan pelanggan hanya melibatkan ibu bapa mencari pakaian untuk anak-anak mereka yang mahu memasuki tahun satu atau tingkatan satu tahun depan.

Bagi peniaga pula, mereka mengakui terkesan dengan keadaan tersebut susulan penularan pandemik Covid-19 dan mengambil pendekatan me­nempah pakaian secara mingguan berbanding secara pukal bagi mengelakkan kerugian.

Seorang peniaga, James Loke, 50, berkata, sejak dua minggu lalu dia sudah mula menjual pakaian sekolah bagi membolehkan ibu bapa melakukan persediaan awal untuk anak-anak mereka.

“Tahun ini memang kurang pembeli namun masih ada ibu bapa yang mencari pakaian sekolah bagi anak mereka yang bakal mendaftar di tahun satu dan tingkatan satu.

“Namun saya lihat mereka hanya sekadar membeli sepasang baju dan kasut bagi pendaftaran sekolah nanti,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.

Menurut Loke, penularan pandemik Covid-19 menyebabkan dia kerugian hampir RM4,000 sebulan.

“Berbanding sebelum ini, saya boleh mengaut keuntu­ngan sebanyak RM10,000 untuk pembukaan sekolah. Namun kini terpaksa mengurangkan tempahan dan hanya boleh mencapai RM2,000 dalam sebulan,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Hew Nyuk King, 56, berkata, dia terpaksa mengehadkan pelanggan memasuki kedainya kerana Seremban masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Tahun ini, memang pelanggan kurang namun ada yang datang lebih awal menyiapkan persediaan persekolahan untuk anak-anak mereka.

“Kami hadkan beberapa orang sahaja memasuki kedai ini, jadi tidak ramai yang boleh beli barang dan sesak seperti tahun sebelum ini,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan menjual pakaian sekolah selama 30 tahun.

Jelasnya, dia sudah me­nempah 10,000 pasang baju sekolah pelbagai peringkat usia namun khuatir melihat jumlah kes positif Covid-19 yang mencatatkan peningkatan saban hari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN