Butik pengantin kembali sibuk, pelamin ‘norma baharu’ - Utusan Malaysia

Butik pengantin kembali sibuk, pelamin ‘norma baharu’

RATNA Emilia Ramlan (kanan) bergambar bersama pengantin yang mendapatkan khidmatnya sempena majlis perkahwinan yang dijalankan ketika PKPP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Selepas mengalami waktu suram dalam perniagaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pemilik butik pengantin di sini kini mampu menarik nafas lega selepas mula menerima tempahan pelanggan untuk majlis perkahwinan.

Pemilik butik pengantin De Mia Emylia Bridal yang terletak di Taman Manggis di sini, Ratna Emilia Ramlan, 34, berkata, pengantin yang menangguhkan majlis ekoran PKPB sebelum ini memilih untuk melangsungkan perkahwinan dan persandingan bulan ini selepas PKPB ditamatkan.

“Majlis perkahwinan diadakan kembali namun dalam skala yang kecil mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.

“Majlis-majlis yang ditempah di dewan sebelum ini ditukar lokasi dan hanya dilaksanakan di rumah pengantin. Apa pun saya bersyukur kerana perniagaan boleh kembali dijalankan,” katanya di sini semalam.

Ratna Emilia berkata, selepas PKPB ditamatkan, dalam sehari dia kini menerima sekurang-kurangkan tiga tempahan pelamin daripada pelanggan di sekitar negeri ini.

“Pelamin yang ditempah juga berubah saiz, tiada lagi pelamin bersaiz besar dan rumit untuk dibuat seperti sebelum ini.

“Saiz pelamin untuk majlis perkahwinan norma baharu ini lebih kecil dan ringkas kerana majlis perkahwinan diadakan dalam skala lebih kecil,” katanya.

Katanya, dalam situasi kebiasaan baharu juga, majlis perkahwinan tidak lagi diadakan pada hujung minggu, malah turut diadakan pada hari-hari biasa.

Dalam pada itu, dia yang berkecimpung dalam bidang andaman dan butik pengantin sejak lima tahun lalu berkata, pandemik Covid-19 yang melanda sepanjang tahun ini menuntut industri butik perkahwinan berubah menjadi lebih kreatif supaya mampu bertahan.

“Dahulu sebelum Covid-19, November dan Disember adalah bulan paling sibuk buat pemilik butik perkahwinan.

“Namun tahun ini semuanya berubah menjadi lebih perlahan dan selaras dengan pandemik Covid-19 butik turut menawarkan pakej-pakej perkahwinan yang sesuai dengan SOP kebiasaan baharu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN