Bersatu buat MN ‘kuca-bara’ di Kelantan - Utusan Malaysia

Bersatu buat MN ‘kuca-bara’ di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak ada angin, tidak ada ribut. UMNO Kelantan yang sudah lama menjadi ‘budak baik’, tidak berkira tentang agihan kerusi di samping berikrar membantu Pas mempertahan negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tiba-tiba melenting.

Parti itu mendesak Pas me­nyatakan pendirian lebih jelas mengenai komitmennya terhadap Muafakat Nasional (MN). Jika Pas lebih cenderung kepada Perikatan Nasional (PN), mereka tidak teragak-agak meletak calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen.

Ugutan itu susulan kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob baru-baru ini yang ditafsir semakin condong kepada PN. Ahmad dilaporkan berkata, perjuangan parti Melayu tidak sepatutnya terhad kepada dua parti iaitu UMNO dan Pas semata-mata.

Untuk rekod, Pas memenangi sembilan kerusi Parlimen dan 37 kerusi DUN di negeri ini pada PRU-14 manakala UMNO pula memenangi lima kerusi Parlimen dan lapan kerusi DUN.

Kerusi Parlimen Jeli dan Ta­nah Merah serta kerusi DUN Ayer Lanas yang dimenangi melalui tiket UMNO bertukar tangan selepas wakil rakyatnya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Difahamkan, selepas piagam MN dimeterai kira-kira setahun lalu, antara yang disepakati adalah mengekalkan status quo dalam soal formula agihan kerusi, iaitu masing-masing terus bertanding di kerusi dimenangi mereka dalam PRU-14.

Pembentukan PN bagaimanapun menuntut pengorbanan daripada Pas dan UMNO. Mereka perlu memberi laluan kepada Bersatu sebagai sekutu baharu untuk bertanding di Kelantan dengan UMNO mungkin perlu ‘berjiwa besar’ lebih sedikit berbanding Pas.

Ini kerana Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang ‘membawa lari’ kerusi Parlimen Jeli dan Tanah Merah hampir pasti mahu mempertahan kawasan masing-masing menggunakan tiket Bersatu.

Mustapa misalnya, dilihat kembali aktif turun padang bertemu rakyat di Jeli setiap hujung minggu. Begitu juga Ikmal His­ham, sekali gus menunjukkan kesungguhan mereka mahu memenangi semula hati pengundi di dua kawasan itu.

Sementara itu, satu lagi kerusi tradisi UMNO iaitu Ketereh dikatakan turut diintai Bersatu untuk ditandingi Naib Presidennya, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin, biarpun beliau pernah tewas teruk kepada Tan Sri Annuar Musa pada PRU-14.

Persoalannya, mampukah jiwa UMNO menjadi ‘sebesar-besarnya’ dan bersedia mengorbankan Jeli, Tanah Merah serta Ketereh?

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Jeli, Datuk Abdul Aziz Derashid ketika mengulas perkara itu menegaskan, pihaknya tidak akan sekali-kali melepaskan Parlimen Jeli yang dimenangi UMNO selama empat penggal berturut-turut sejak 2004.

Tegasnya, tidak ada sebab untuk UMNO menyerahkan Tanah Merah dan Ketereh yang menjadi kubu kuat parti itu selama dua penggal berturut-turut sejak 2013 kepada Bersatu begitu sahaja.

“Waima kerjasama apa sekali pun, kita tak akan bagi, lebih-lebih lagi kepada ‘pencuri’. Kalau dia nak bertanding di Jeli, dia bertandinglah atas tiket UMNO kerana ini kerusi tradisi UMNO sejak sekian lama.

“Jika UMNO di peringkat Pusat tunduk kepada permintaan Bersatu, saya fikir bukan saya sahaja, akar umbi seluruhnya pun akan turut menjadi sangat marah,” kata ADUN Kuala Balah itu.

Berdasarkan kenyataan keras Abdul Aziz, maka tidak peliklah jika pada PRU-15 kelak berlaku pertembungan tiga penjuru antara UMNO-BN, Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) di nege­ri ini, khususnya di tiga kerusi Parlimen itu.

Alangkah ruginya jika formula agihan kerusi yang pernah disusun cantik dalam MN, bertukar menjadi ‘kuca-bara’ gara-gara ‘cinta tiga segi’ melibatkan PN.

“Mungkin Bersatu yang perlu berjiwa besar, lupakan sahaja Kelantan dan cari tapak di ne­geri lain.” Demikian pesanan sinis Abdul Aziz sebelum meng­akhiri perbualan yang masih terngiang-ngiang di telinga. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN