Berkorban jaga 4 darah daging OKU - Utusan Malaysia

Berkorban jaga 4 darah daging OKU

MOHD. Hamidi Mad Tap (kanan) melihat borang permohonan bantuan JKM sambil diperhatikan Zainah Ali di Taman Sri Penggaram, Batu Pahat, Johor. – UTUSAN/MOHAMAD FAHD RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: “Biarlah Allah SWT tarik nyawa mereka dahulu. Jika mak cik pergi dahulu, siapa akan jaga mereka kelak?”

Demikian luahan seorang warga emas, Zainah Ali, 68, yang seorang diri menguruskan empat darah dagingnya berstatus orang kurang upaya (OKU) sejak dilahirkan.

Zainah berkata, dia mengambil tanggungjawab menjaga dua abangnya iaitu Mustapha Ali, 71, dan Salleh, 66, yang lembam manakala dua anaknya, Norul Imran Mohd. Palil, 32 dan Mohamad Solehin, 28, turut dikategorikan sebagai OKU kerana me­ngalami masalah pembelajaran.

Katanya, dia risau siapa yang akan menjaga mereka kelak berikutan keuzurannya akibat penyakit diabetes manakala suaminya, Mohd. Palil Abd. Rahman meninggal dunia pada 18 Mac lalu.
“Walau sesusah mana saya tetap menjaga mereka selagi hidup dan terdaya kerana ia adalah amanah menjaga darah daging sendiri.

“Saya hanya memikirkan apabila tiada kelak siapa pula yang akan menjaga mereka,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Penggaram di sini, semalam.

Zainah berkata, buat masa ini dia hanya bergantung kepada pencen bulanan arwah suaminya sekitar RM1,000 yang sebelum ini bertugas sebagai pekerja am di sebuah agensi kerajaan.

Katanya, dua anak dan dua adik-beradiknya itu terputus mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana dalam proses kemas kini setelah mereka berpindah ke daerah ini, dua tahun lalu.

“Sebelum ini kami tinggal Kota Tinggi tetapi kini perlu mengemas alamat rumah terbaharu serta perlu menukar alamat di dalam kad pengenalan.

“Kami berdepan masalah untuk berbuat sedemikian memandangkan saya tidak berupaya dan mempunyai penyakit yang kronik,” kata­nya.

Sementara itu, Ketua Biro Kebajikan Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri Penggaram, Mohd. Hamidi Mad Tap berkata, pihaknya akan membantu keluarga terbabit dalam urusan itu.

“Kita juga akan berurusan dengan JKM Daerah Batu Pahat untuk proses bantuan secara bulanan yang diterima mereka sebagaimana sebelum ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya