ASB: Dividen rendah, peminjam tersepit - Utusan Malaysia

ASB: Dividen rendah, peminjam tersepit

asb
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengumuman kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) terendah dalam sejarah pada Khamis lalu menyebabkan sebahagian daripada 10.2 juta pemegang unit pelaburan itu tersepit untuk melunaskan ansuran bulanan.

Sebelum ini, peminjam bergantung kepada agihan dividen tinggi untuk menampung ansuran bulanan pinjaman dalam tempoh setahun.

Mulai tahun depan, peminjam terpaksa mengeluarkan duit poket bagi menampung ansuran bulanan yang ditetapkan bank-bank yang mengambil bahagian dalam skim pembiayaan berkenaan.

Menyeksakan lagi apabila mereka yang membuat pinjaman penuh iaitu RM200,000 bagi tempoh tertentu terpaksa menampung kos ansuran tambahan antara RM4,000 hingga RM5,000 setahun.

Perkembangan tersebut menyebabkan, institusi kewangan digesa menurunkan kadar faedah ke tahap minimum bagi pembiayaan berkenaan terutamanya skim pembiayaan Islamik yang masih mengekalkan kadar faedah tinggi.

Setakat ini, institusi kewangan menawarkan peminjam supaya membuat penjadualan semula bayaran pinjaman.

Namun, tawaran tersebut didakwa tidak `berbaloi’ apabila kontrak perjanjian baharu menetapkan komitmen ansuran bulanan lebih tinggi tahun depan.

Hal ini menyebabkan majoriti peminjam dijangka menamatkan pinjaman masing-masing berbanding mengambil langkah penjadualan semula pembiayaan ASB.

Rintihan peminjam boleh dibaca menerusi media-media sosial terutamanya Facebook dan Twitter yang kebanyakan mahu menghentikan segera tekanan ini.

Mereka yang terkesan dengan masalah tersebut bukan hanya golongan berpendapatan rendah B40 sebaliknya kelas pertengahan M40.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, langkah lebih adil dalam isu ini ialah bank-bank kena merendahkan kadar faedah bagi membantu peminjam dan pada masa sama memastikan pelabur ASB terus kekal.

“Secara asas untuk melabur, individu perlu ada lebihan kewangan. Tapi apabila dia meminjam untuk melabur itu langkah kurang tepat lebih-lebih lagi mengharapkan dividen untuk membayar semula pinjaman. Perlu diingat apabila dividen rendah, bank yang memberi pinjaman tidak rugi, tetapi orang yang meminjam untuk buat pelaburan itu yang rugi.

“Bagaimanapun, dalam pelaburan ASB, golongan pelabur ramai dalam kalangan B40. Jadi, apabila mereka jual semula (pinjaman ASB) ia akan mengurangkan ekuiti. Apa yang bank boleh bantu adalah kurangkan faedah untuk setahun ini. Maka, di sini ada situasi menang-menang antara peminjam yang juga pelabur dan bank,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.

Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Agihan pendapatan tahun ini terendah dalam sejarah berbanding tahun lalu iaitu 5 sen seunit dan bonus 0.50 sen seunit.

Dalam pada itu, Penasihat Persatuan Penganalisis Teknikal Malaysia, Nazarry Rosli berkata, pelabur ASB yang membuat pinjaman bank dan mampu menanggung ‘kerugian’ dinasihatkan terus kekal dengan pelaburan masing-masing.

“Jika mereka tidak mampu, lebih baik batalkan pinjaman berkenaan.Jika ikut konsep kita melabur dalam situasi untung.

“Akan tetapi, dalam situasi sekarang apakah bentuk pelaburan lain yang tinggi? Setakat ini pelaburan ASB masih lagi terbaik berbanding instrumen lain dan tiada risiko.

“Cuma kepada peminjam yang gunakan dividen untuk membayar balik pinjaman bank, mereka ini yang akan terkesan,” jelasnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN