40 ditahan, 25 kes penyeludupan dadah, rokok tumpas - Utusan Malaysia

40 ditahan, 25 kes penyeludupan dadah, rokok tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Sebanyak 25 kes berkaitan penyeludupan dadah dan rokok di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tumpas apabila 40 individu ditahan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam tempoh dua bulan ini.

Komander ESSCOM, Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, kejayaan itu hasil atur gerak Operasi Cegah Pati (OCP) Daratan yang dilaksanakan sejak 7 Oktober lalu sebagai barisan kedua penguatkuasaan keselamatan selepas OCP Laut.

“Daripada tangkapan itu, sebanyak RM3.17 juta dadah serta RM1.05 juta rokok dan barang kawalan seludup dirampas.

“Kejayaan yang dicapai ESSCOM ini hasil kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja ke OCP Daratan Zon Timur di Tanjung Labian, Sabah.

Ahmad Fuad berkata, dalam tempoh sama, 10 tekong darat dan laut serta 58 pendatang haram turut ditangkap atas pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan RM1.19 juta.

“Selain itu, 33 pendatang Indonesia diarahkan berpatah balik dan diiring keluar dari sempadan Malaysia,” jelasnya.

Katanya, atur gerak antara pasukan keselamatan membolehkan perkongsian kepakaran, logistik, kemudahan radar digunakan secara berkesan dalam OCP Daratan bagi memantau 62 kawasan panas di ESSZONE.

Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif OCP Daratan berjaya mengurangkan kemasukan pendatang haram dan kes penyeludupan dari negara jiran.

“Bukti ketara apabila bot-bot mencurigakan termasuk bot tekong laut semakin kurang dikesan melalui radar ATM di perairan ESSZONE,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.