21 hospital, institusi kesihatan perlu baik pulih segera - Utusan Malaysia

21 hospital, institusi kesihatan perlu baik pulih segera

ADHAM BABA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 47 hospital dan institusi kesihatan dicadangkan untuk dibaik pulih termasuk menaik taraf Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) yang berusia lebih 50 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, perkara itu disyorkan Pasukan Khas Teknikal kepada Pasukan Khas Pemandu yang bermesyuarat pada September lalu.

Menurut beliau, bagaimanapun bagi fasa 1 terdapat 21 hospital dan institusi kesihatan yang memerlukan tindakan baik pulih dan naik taraf segera melalui cadangan pelan jangka pendek melibatkan kerja-kerja awalan, penilaian keadaan bangunan (BCA) dan pematuhan notis bomba.

Katanya, anggaran kos bagi kerja-kerja awalan melibatkan 21 hospital atau institusi kesihatan itu ialah sebanyak RM13.65 juta dengan tempoh kerja selama 11 bulan bermula tahun ini sehingga penghujung tahun depan.

“Anggaran kos bagi baik pulih sebuah hospital hanya akan diketahui berdasarkan kerja-kerja awalan yang akan dilaksanakan nanti,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Adham berkata, pematuhan notis bomba pula melibatkan lebih 600 notis untuk 21 hospital dengan anggaran kos berjumlah RM7.35 juta.

Kata beliau, ia melibatkan kerja naik taraf, penggantian dan pembaikan yang bukan di bawah penyelenggaraan.

Beliau berkata, pematuhan notis bomba itu juga tidak terhad kepada 21 hospital sahaja untuk pelan jangka pendek, namun baki 26 hospital lain juga akan diambil tindakan secara berperingkat mengikut keutamaan.

Pada masa sama, beliau berkata, permohonan peruntukan bagi tahun 2022 akan melibatkan permohonan peruntukan kerja awalan bagi baki 26 hospital yang memerlukan tindakan baik pulih segera.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan sebuah jawatankuasa khas untuk menilai keadaan hospital-hospital kerajaan yang daif dan usang, seterusnya mencadangkan langkah-langkah penambahbaikan kepada kerajaan.

Utusan Malaysia pada Julai lalu mendedahkan sekurang-kurangnya 46 hospital berusia lebih 50 tahun di seluruh negara dikenal pasti sebagai daif dan ‘uzur’ yang berisiko jika berlaku kejadian tidak diingini terutama kebakaran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN