1,000 pesawah terjejas, rugi RM2 juta - Utusan Malaysia

1,000 pesawah terjejas, rugi RM2 juta

GAMBAR yang diambil daripada pandangan udara menggunakan dron dikongsikan petani kepada Utusan Malaysia ketika sawah mereka di Kampung Bakong, Arau, Perlis ditenggelami air pada 25 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Sebelum ini, ribuan pesawah di negeri ini dianggarkan mengalami kerugian mencecah RM48 juta satu musim berikutan masalah kelewatan dan kekurangan bekalan benih padi yang dikatakan berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Selepas isu tersebut semakin reda dengan para pesawah mula mengusahakan tanaman dan bersedia menuai hasil pada awal tahun depan, terdapat dalam kalangan petani kini menghadapi masalah baharu yang turut menjejaskan hasil tanaman.

Kira-kira 1,000 pesawah dari Arau, dekat sini buntu selepas kawasan bendang dianggarkan seluas 1,000 hektar yang diusahakan mereka tenggelam setiap kali hujan lebat sekali gus menyebabkan kerugian hampir RM2 juta.

PARA pesawah dari Arau menunjukkan sekatan di Sungai Pengkalan Asam, Kangar, Perlis yang dikatakan menjadi punca setiap kali hujan lebat air melimpah ke dalam sawah di kawasan tersebut.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB

Pesawah mendakwa, masalah itu berpunca daripada sekatan di Sungai Pengkalan Asam, di sini yang menyebabkan beberapa sungai sekitar Arau terkesan sehingga berlaku limpahan air ke sawah terbabit setiap kali hujan lebat.

Antara kawasan sawah yang terjejas teruk ialah di Kampung Teluk, Gobak, Alor Banat, Bakong, Banat dan Jawi Bakong dengan setiap kali hujan lebat bendang terbabit dikatakan tenggelam hingga paras pinggang.

Lebih memburukkan keadaan, setiap kali sawah mereka tenggelam, ia mengambil masa lebih 10 hari untuk surut sekali gus menyebabkan padi yang diusahakan itu rosak.

Dalam tempoh tiga bulan sahaja, sudah enam kali bendang mereka ditenggelami air.

Seorang pesawah dari Kampung Teluk, Salleh Chin,58, berkata, setiap kali hujan lebat dengan hanya dalam tempoh dua jam sahaja, kawasan bendang di kawasan Arau sudah tenggelam sehingga paras pinggang.

Dia yang mengalami kerugian lebih RM20,000 berikutan masalah tersebut berkata, mereka terpaksa menanam padi baharu dan menunggu sekitar Mac ini pula bagi menuai hasil selain terpaksa berdepan dengan musim kemarau selepas ini.

“Setiap kali tenggelam, memakan masa lama untuk surut menyebabkan padi rosak. Kita ada memaklumkan masalah ini kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenai masalah tersebut namun tiada tindakan,” katanya ketika ditemui bersama para pesawah lain di kawasan sekatan di Sungai Pengkalan Asam, di sini semalam.

Seorang lagi pesawah, Shahidan Baharom, 58, dari Lomboh, Arau berkata, dia yang mengusahakan tanaman padi di kawasan seluas 15 hektar mengalami kerugian hampir 50 peratus akibat masalah tersebut.

“Selalunya hasil yang diperoleh setiap kali musim menuai boleh mencecah RM100,000. Kali ini saya menjangkakan hasil boleh susut sehingga 50 peratus selepas sawah beberapa kali tenggelam sejak Ogos lalu.

“Kami harap sekatan di Sungai Pengkalan Asam itu dibuang. Apabila tersekat menyebabkan air melimpah ke sungai-sungai lain khususnya di kawasan Arau seterusnya melimpah ke kawasan sawah,” katanya.

Rakannya, Suvit Udom,45, dari Kampung Alor Banat pula berkata, pendapatannya terjejas teruk akibat masalah tersebut dan dalam tempoh beberapa bulan ini, kawasan bendangnya sudah tiga kali tenggelam dengan kerugian dianggarkan RM20,000. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN