PONTIAN : UMNO mengambil pendirian ‘tunggu dan lihat’ berhubung Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Gerik ekoran kematian penyandangnya, Datuk Hasbullah Osman.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, terserah kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan sama ada perlu diadakan pilihan raya atau sebaliknya.
Katanya, UMNO pada bila-bila masa bersedia untuk menghadapi pilihan raya meskipun sewaktu pandemik Covid-19 seperti mana berlaku pada dua PRK iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dan Slim.
“Jika keadaan mengizinkan dan jumlah jangkitan Covid-19 semakin menurun, maka demokrasi perlu diserahkan kepada pengundi untuk mereka memilih wakil rakyat mereka.
“Apa pun kita tunggu perkembangan terkini Parlimen Gerik,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Puteri Menangis di sini semalam.
Kerusi Parlimen Gerik kosong berikutan penyandangnya, Hasbullah, 63, meninggal dunia akibat sakit jantung pada Isnin lalu.
Dalam pada itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, UMNO menyambut baik sekiranya pembangkang ingin memberikan laluan mudah kepada UMNO.
“Kita berharap pendirian tersebut dapat membantu usaha menyekat penularan Covid-19 dan sekali gus menjadi tanggungjawab semua parti politik supaya tidak mengulangi apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah,” ujarnya. – UTUSAN










