Treler terbalik dihempap kayu balak jatuh - Utusan Malaysia

Treler terbalik dihempap kayu balak jatuh

KEADAAN treler habuk kayu yang terbalik selepas dihempap sebatang balak di Kilometer 159 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bandar Baru Cheneh di Kemaman, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Sebuah treler membawa muatan habuk kayu terbalik selepas dihempap sebatang kayu balak yang terjatuh dariPADA sebuah treler di Kilometer 159, Jalan Jerangau–Jabor berhampiran Cheneh Baru, di sini awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu mengakibatkan pemandu, Mohd. Badrulhisham Zulkifli, 30, terseliuh bahu kiri manakala kelindannya, Mohd. Shafiq Aizat Zulkifli, 22, mengalami luka pada tangan.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila besi penghadang treler balak itu patah menyebabkan muatan terjatuh dan menghempap bahagian hadapan treler habuk kayu yang diparkir di tepi jalan.

Katanya, semasa kejadian treler balak itu dikatakan dalam perjalanan dari Jabor ke Jerangau.

“Kejadian itu menyebabkan lori habuk kayu terbalik manakala lori balak pula terbabas ke kanan jalan.

“Insiden mencemaskan itu berlaku ketika Mohd. Badrulhisham dan Mohd. Shafiq Aizat berehat dan tidur dalam treler mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun menurut Hanyan, pemandu treler balak yang berusia 29 tahun dari Bukit Payung, Marang dan kelindannya berumur 19 tahun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, kedua-dua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kemaman untuk menerima rawatan dan kes disiasat mengikut Rule 19 LN 166/59.

Kemalangan itu turut menyebabkan sebahagian jalan di lokasi kejadian terpaksa ditutup sementara bagi kerja-kerja mengalihkan puluhan timbunan kayu balak yang terjatuh atas jalan raya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN