KUALA LUMPUR: Kerjasama diberikan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud dalam membongkar sindiket cap keluar dan masuk sempadan utama negara sehingga tertangkapnya puluhan kakitangannya kelmarin harus dipandang tinggi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, bukan mudah mendapat kerjasama daripada ketua jabatan seumpama itu terutama bagi SPRM merungkai permasalahan rasuah dalam jabatan terbabit.
Ujarnya, iltizam Khairul Dzaimee itu dipuji dan SPRM memang mengalu-alukan sebarang kerjasama risikan dan siasatan seperti itu dengan mana-mana agensi kerajaan dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa di dalam negara ini.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Bank Negara Malaysia adalah antara agensi yang menjadi rakan strategik SPRM dalam melaksanakan beberapa siasatan dan risikan sebelum ini.
“Dengan pihak Imigresen ini bukan kali pertama dan ada lagi kes berbentuk sindiket jenayah akan dibongkar dari semasa ke semasa,” katanya di sini semalam.
Media semalam melaporkan SPRM berjaya membongkar sindiket pemalsuan cop keluar masuk warga asing melalui pintu masuk utama negara.
Pihak SPRM dan Imigresen mengambil masa beberapa bulan untuk menjalankan risikan dan siasatan bagi mengesan pegawai dan anggota daripada jabatan itu yang terbabit dengan kegiatan berkenaan.
Sehingga kini, seramai 25 pegawai Imigresen direman kerana disyaki terbabit dengan sindiket salah guna cop keluar masuk sempadan negara.
Kesemua pegawai Imigresen yang ditahan itu berusia 21 tahun hingga 46 tahun dan berkhidmat di Ibu Pejabat Imigresen, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA); KLIA2; Bangunan Sultan Ismail, Johor Bahru selain di Shah Alam, Selangor; Sabah dan Sarawak.
Turut ditahan, orang awam yang dijadikan sebagai orang tengah atau ejen dalam operasi haram itu. – UTUSAN ONLINE