PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan inisiatif penghantaran kad pengundi bermula hari ini kepada 32,962 pengundi meliputi 31,152 pengundi biasa dan 1,810 pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, Sabah.
Menurut Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak, kad pengundi itu mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.
Katanya, maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal pada 1 Disember (Selasa) dan hari mengundi biasa pada 5 Disember (Sabtu).
“Pada kad pengundi kali ini, SPR juga meletakkan maklumat ‘Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan’ bagi setiap pengundi.
“SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut masa berkenaan bertujuan mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam daftar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut.
Namun, katanya, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti di samping kad pengundi itu pada hari mengundi bagi memudahkan semakan.
Katanya, bagi mana-mana pengundi yang tidak menerima kad berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan.
Jelasnya, semakan boleh dibuat melalui portal SPR pengundi.spr.gov.my atau Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) (SPR <jarak> SEMAK <jarak> NOMBOR KAD PENGENALAN hantar ke nombor 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018. – UTUSAN ONLINE