Proses sanitasi PPS selesai minggu depan - Utusan Malaysia

Proses sanitasi PPS selesai minggu depan

WAN Mohamad Zaidi Wan Isa (tiga dari kiri) melakukan pemeriksaan aset Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di Indera Mahkota, Pahang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Proses sanitasi awam dan nyah kuman di 647 pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan bagi menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini dijangka selesai minggu depan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Ir. Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, setakat ini 60 peratus PPS menjalani proses tersebut yang dimulakan minggu lalu.

“Operasi ini sebahagian persiapan JBPM Pahang dalam menghadapi kemungkinan banjir di negeri ini. Kita jangka semuanya boleh diselesaikan dalam minggu depan dan proses ini dilakukan berterusan sehinggalah PPS berkenaan digunakan.

“Sebaik sahaja ia (PPS) beroperasi atau diaktifkan, kita serahkan kepada pihak yang diberi tanggungjawab menyelia pusat pemindahan berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Pahang, di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Mohammad Zaidi berkata, JBPM Pahang sudah bersedia menghadapi kemungkinan banjir termasuk membekukan cuti 953 pegawai dan anggota di seluruh negeri, bermula bulan ini.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan semua pegawai dan anggota berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan jika banjir berlaku.

“Bagi persiapan musim banjir tahun ini, kita ada prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi bagi mengekang penularan pandemik Covid-19. Semua balai menjalani latihan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya mungkin berdepan cabaran dalam operasi menyelamat mangsa banjir kali ini termasuk keperluan kepada pemakaian alat pelindungan diri (PPE) bersesuaian.

Berhubung keperluan logistik bagi menghadapi banjir, beliau berkata, sebanyak 51 bot yang ada di semua balai bomba berada dalam keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

Selain itu, beliau meminta semua balai bomba mengambil langkah proaktif dengan membuat pemantauan segera di lokasi berisiko berlakunya banjir dan tanah runtuh, sekiranya berlaku hujan lebat dalam tempoh yang agak lama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN