BAGAN SERAI: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Parit Haji Aman di sini yang dibuka sejak Jumaat lalu bagi menempatkan mangsa banjir ditutup hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kerian, Mohd. Sabli Bakri berkata, PPS itu menempatkan 168 penduduk daripada 69 keluarga dibuka sejak enam hari lalu.
“PPS Sekolah Parit Haji Aman ditutup hari ini berikutan banjir di kawasan kediaman penduduk telah surut.
“Semua 168 penduduk di PPS ini dibenarkan pulang ke rumah mereka masing-masing hari ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyampaikan kotak makanan dan beras sumbangan Baitulmal di PPS berkenaan hari ini.
Menurutnya, dengan penutupan PPS tersebut, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian kini seramai 87 orang dari 22 keluarga yang melibatkan penduduk dari Kampung Matang Tengah, Changkat Lobak.
“Mereka kini ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak di sini berikutan banjir di kampung mereka belum surut,” katanya. – UTUSAN ONLINE