KOTA BHARU: Kawalan di pintu masuk utama negeri ini diperketat berkuat kuasa tengah malam tadi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan.
Ketua Polis negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, empat sekatan jalan raya dilakukan iaitu di Tok Bali dan Bukit Yong di Pasir Puteh; Gua Musang serta Jeli bagi mengawal kemasukan individu dari zon merah.
Pada masa sama, beliau berkata, setiap individu yang mahu memasuki Kelantan perlu menjalani ujian saringan Covid-19 atau ujian calitan di samping wajib memiliki surat kebenaran rentas negeri yang dikeluarkan polis.
“Individu yang mengemukakan alasan tidak kukuh dan tidak munasabah serta tidak mempunyai surat kebenaran, polis akan mengarahkan mereka pulang atau berpatah balik.
“Tujuh anggota polis ditempatkan di setiap sekatan selain turut dibantu Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Jalinan Strategik Jabatan Penerangan Kelantan Pembudayaan Norma Baharu, di sini semalam.
Dalam perkembangan berkaitan, Shafien memberitahu, pematuhan rakyat Kelantan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang pandemik COVID-19 berada pada tahap memuaskan iaitu sebanyak 95 peratus.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di Gua Musang mendapati aliran trafik di pintu masuk utama Kelantan itu kelihatan lengang berbanding sebelum pelaksanaan PKPB.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Mohd. Taufik Maidin berkata, anggota yang ditugaskan membuat pemantauan berhubung jalan Kuala Lipis-Gua Musang dan Gua Musang-Kota Bharu melaporkan aliran trafik setakat ini lancar tanpa sebarang kesesakan.
“Malah mengikut maklumat kita terima, laluan terbabit kelihatan lebih lengang dengan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gua Musang juga tidak sesak dengan orang ramai sebagaimana biasa,” katanya.
Tambah beliau, situasi positif itu dipercayai kerana rakyat semakin memahami kepentingan mematuhi SOP dan arahan di bawah PKPB yang bertujuan mengekang penularan pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE