Pili bomba rosak `diturap’ kontraktor atau dicuri - Utusan Malaysia

Pili bomba rosak `diturap’ kontraktor atau dicuri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Kesedaran  kepentingan pili bomba masih rendah sehingga ada yang sanggup merosakkan dan mencuri penutup saluran yang dipasang di kawasan ini.

Lebih mengejutkan  apabila ada segelintir kontraktor yang melakukan kerja-kerja naik taraf jalan sehingga menurap permukaan kunci pili bomba.

Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)  Bandar Segamat, Penolong Penguasa Bomba Muhd. Hazim Abdul. Razak berkata, kerosakan serta halangan pada pili bomba boleh membataskan usaha pasukan penyelamat memadam api  di kawasan sekitar.

Menurut beliau, tindakan itu juga menjadi punca kerosakan alat bantuan kecemasan kebakaran berkenaan.

“Sebilangan kecil pekerja kontraktor dengan sesuka hati mengambil jalan mudah menurap permukaan ‘kunci air’ (pili bomba) ketika kerja-kerja naik taraf jalan atau pelebaran jalan tanpa memikirkan risiko yang akan timbul.

“Ada juga masyarakat kita merosakkan pili bomba, ada yang mencuri penutupnya sehingga tidak dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan pemeriksaan pili bomba sekitar daerah Segamat baru-baru ini.

Muhd. Hazim berkata, terdapat 1,386 pili bomba di sekitar bandar ini termasuk di kawasan perkampungan dan kawasan Felda.

Beliau berkata, pihak bomba juga meminta kerjasama pemandu kenderaan supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan pili bomba atau berdepan tindakan tegas jika berbuat demikian.

Dalam pada itu, Muhd. Hazim berkata, pihak bomba mengambil inisiatif bagi menangani masalah vandalisme pili bomba dengan menganjurkan Program Teman Pili Bomba atau anak angkat sejak 2012.

“Program ini berjaya menurunkan kadar kerugian sehingga 98 peratus kerosakan pili bomba yang disebabkan kegiatan vandalisme,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya