PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya mengesahkan Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri tiada kontak dengan pegawai disahkan ada Covid-19.
Menurut kenyataan oleh Unit Komunikasi Korporat Motac, hasil siasatan pengesanan dijalankan mendapati beliau bukan dan tidak ada kontak langsung dengan seorang pegawai agensi kementerian itu yang telah disahkan positif wabak itu.
“Perkara ini juga telah disahkan secara rasmi oleh pihak Kementerian Kesihatan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Ia susulan pengesahan ada seorang pegawai Tourism Malaysia didapati positif Covid-19 semalam yang turut dibangkitkan beberapa ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, Nancy telah mengambil inisiatif proaktif dengan menjalani ujian saringan pada 5.15 petang semalam dan hasil keputusan ujian yang dilakukan berkenaan adalah negatif.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, beliau menjalani satu lagi ujian saringan pagi ini dan semua staf kementerian turut menjalani kuarantin kendiri di rumah berkuat kuasa hari ini,” kata kenyataan itu.
Namun, bagi menangani penularan wabak Covid-19, seluruh bangunan kementerian di Presint 5, di sini telah pun disanitasi pegawai dari Pejabat Kesihatan Putrajaya lewat petang semalam.
Kenyataan tersebut menambah, kesemua pegawai dan kakitangan kementerian itu yang bertugas di bangunan berkenaan juga diarahkan bekerja dari rumah mulai hari ini. – UTUSAN ONLINE