MN Tanjong Karang jelajah 100 kampung salur bantuan Covid-19 - Utusan Malaysia

MN Tanjong Karang jelajah 100 kampung salur bantuan Covid-19

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Muafakat Nasional (MN) Tanjong Karang akan menjelajah 100 kampung di sekitar daerah itu bagi menyalurkan bantuan Covid-19 kepada penduduk setempat.

Bantuan berupa barangan keperluan asas itu melibatkan lebih 9,000 penerima terdiri daripada golongan ibu tunggal, pesakit kronik, asnaf dan orang kurang upaya (OKU).

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, sumbangan itu disalurkan secara berperingkat dalam tempoh 10 hari bagi meringankan beban golongan kurang berkemampuan tersebut.

“Semua penerima ini sudah dikenal pasti dan jelajah dijalankan di 10 kampung pada setiap hari.

“Kita amat memahami keperitan rakyat yang sedang mendepani musim pandemik Covid-19 dan sumbangan ini diharap membantu mereka yang terjejas teruk.

“Selain daripada kita prihatin dengan nasib penduduk di Tanjong Karang, ini juga membuktikan kesepakatan UMNO dan Pas Parlimen ini yang berpegang teguh bersama MN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke majlis penyerahan bantuan di Kampung Seri Hang Tuah, Bestari Jaya di sini hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Pas Tanjong Karang, Dr. Zamri Zainuldin.

Dalam pada itu, seorang penerima, Arpah Leman, 80, berkata, dia amat menghargai bantuan khas berkenaan yang membantu golongan ibu tunggal warga emas sepertinya.

“Saya kini tidak mampu berjalan jauh kerana faktor usia dan hanya mengharapkan tanggungan daripada lapan anak.

“Bantuan barangan keperluan asas seperti beras, gula dan minyak masak itu amat mengurangkan beban kami sekeluarga,” kata nenek kepada 30 cucu itu.

Rasa syukur turut diluahkan ibu tunggal, Norkhaizah Yusoff, 55, yang kematian suaminya akibat sesak nafas pada 25 Oktober lalu.

“Pemergian arwah yang menjadi tulang belakang keluarga masih dirasai dan saya seolah-olah kehilangan sumber pendapatan.

“Sumbangan MN itu amat membantu golongan memerlukan terutama bagi menghadapi musim Covid-19 yang belum reda,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN