Made In Johor tambah baik eksport pertanian - Utusan Malaysia

Made In Johor tambah baik eksport pertanian

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR BAHRU: Made In Johor merupakan langkah penjenamaan oleh kerajaan negeri terhadap semua produk eksport pertanian hasil keluaran Johor ke luar negara.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, semua produk eksport pertanian ke Singapura ditambah nilai dari segi pemprosesan, pembungkusan, keselamatan, kualiti dan penjenamaan.

Katanya, program itu dirintis menerusi pembangunan Pusat Pemprosesan, Pembungkusan, Penjenamaan dan Pemasaran Negeri Johor yang dilengkapi platform Pusat Eksport Pertanian (AE Center).

“Dengan kerjasama awam dan swasta serta agensi Persekutuan, Pusat Pemprosesan, Pembungkusan, Penjenamaan dan Pemasaran Negeri Johor dilengkapi dengan platform AE Center.

“Ia bagi proses pensijilan dan kelulusan daripada jabatan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat dijayakan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi tiga soalan yang dikemukakan Dr. Faizul Amri Adnan (PH-Serom), K.Raven (BN-Tenggaroh) dan Abd. Taib Abu Bakar (BN-Machap) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini hari ini.

Hasni menambah, perkara itu merupakan cadangan strategi kerajaan negeri bagi penjanaan hasil baharu berasaskan perkhidmatan industri hiliran pertanian dan makanan di negeri Johor.

Ujarnya, AE Center ini juga akan menjadi pusat, keselamatan dan kualiti makanan menurut piawaian antarabangsa, penjenamaan dan akses kepada pasaran pertanian dunia.

“Sebagai contoh, semua produk eksport pertanian ke Singapura ditambah nilai daripada segi pemprosesan, pembungkusan, keselamatan, kualiti dan penjenamaan Made in Johor menjadi pilihan baharu rakyat Singapura mahupun antarabangsa.

“Kerajaan negeri amat yakin, dengan penglibatan kerajaan persekutuan, pihak swasta, pihak pelabur strategik, usaha pembangunan AE Center produk pertanian eksport dapat direalisasikan,” katanya.

Sementara itu, Hasni berkata, sebanyak 970,000 tan metrik produk pertanian segar atau dianggarkan bernilai RM1.19 billion seperti buah-buahan, ayam, ikan segar, daging melalui Tambak Johor yang dihantar ke Singapura pada 2019.

Katanya, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, penghantaran produk pertanian segar berjumlah hampir 350,000 tan metrik dengan nilai jumlah RM 1.48 billion pada suku kedua 2020. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN