Letak 90 ‘mata-mata’ sepanjang PKPB - Utusan Malaysia

Letak 90 ‘mata-mata’ sepanjang PKPB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri menempatkan seramai 90 penguat kuasa di lokasi-lokasi tumpuan bagi memantau harga barangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, seramai 65 penguat kuasa dan 25 pegawai pemantau harga ditugaskan di pasar raya, kedai runcit dan pasar borong yang disenaraikan.

“Pemantauan ini meliputi harga barangan dan pemeriksaan buku log untuk memastikan tiada aktiviti-aktiviti mencurigakan serta bekalan makanan asas mencukupi.

“Kita menyasarkan membuat pemeriksaan minimum sebanyak 50 premis di seluruh negeri setiap hari dengan jumlah keseluruhan premis 18,000 perniagaan,” katanya. selepas membuat’ pemantauan harga barangan sempena PKPB dan perayaan Deepavali di sebuah pasar raya di Cheng, di sini, hari ini.

Norena memberi amaran kepada peruncit dan pemborong supaya tidak menyorok bekalan makanan asas di premis masing-masing.

Jelasnya, antara jenis bekalan makanan asas yang kerap disorok pihak tidak bertanggungjawab ialah beras, tepung, gula, telur dan minyak masak.

“Sepanjang Januari sehingga semalam, kita melakukan rampasan bernilai lebih RM34,000 dan nilai kompaun berjumlah RM15,500 melibatkan kesalahan menyorok barangan asas makanan.

“Kita sama sekali tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku lagi kes-kes sedemikian terutama sepanjang pelaksanaan PKPB dan perayaan Deepavali bulan ini,” katanya.

Tambahnya, setakat ini pihaknya tidak menerima apa-apa laporan berhubung pembelian panik atau kekurangan bekalan makanan di pasaran.

“Semua bekalan makanan di pasaran mencukupi bagi memenuhi permintaan setiap pengguna di negeri ini terutama yang beragama Hindu yang bakal menyambut Deepavali,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN