PARIT: Lelaki warga emas yang merempuh dua anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di pekarangan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah, Seri Iskandar semalam direman selama empat hari.
Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superitenden Nik Rosdi Nik Yahya berkata, suspek berusia 64 tahun itu direman bermula hari ini hingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Nik Rosdi berkata, kedua-dua mangsa iaitu masing-masing anggota lelaki dan wanita berusia 32 dan 26 tahun yang cedera ringan akibat kejadian itu kini dilaporkan dalam keadaan baik.
“Mereka dirawat sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.
Beliau berkata, keluarga suspek juga datang ke balai selepas dimaklumkan dan polis masih menyiasat motif kejadian.
Katanya, polis masih menunggu laporan ujian darah suspek dan setakat ini semakan daripada rekod hospital mendapati lelaki warga emas itu menghidap kencing manis.
Semalam, dua anggota URB dari Balai Polis Seri Iskandar dilanggar suspek ketika mahu keluar bertugas.
Suspek sebelum itu memandu sendiri keretanya diiringi anggota polis ke Balai Polis Seri Iskandar selepas terbabit kemalangan pada jam 12.10 tengah hari. – UTUSAN ONLINE