Lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing - Utusan Malaysia

Lelaki dikhuatiri lemas ketika memancing

ANGGOTA Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia memulakan semula operasi mencari mangsa di Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang, Port Dickson, hari ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seorang lelaki dikhuatiri lemas semasa memancing bersama rakannya di Pulau Asam, Kampung Sungai Sekawang, Pasir Panjang lewat petang semalam. 

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang, Mohd. Kamal Mohd. Timar berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada pukul 4.30 petang dan tiba di lokasi pada pukul 5.30 petang.

“Mangsa yang berusia 25 tahun dikatakan pergi memancing bersama seorang lagi rakannya pada pukul 3 petang semalam. Menurut rakannya, mangsa dikatakan mengharungi air laut ke sebuah kelong bersebelahan dengan Pulau Asam.

“Namun, tidak lama kemudian mangsa kemudiannya dilihat terkapai-kapai meminta bantuan,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Menurut Mohd. Kamal, pihak bomba melakukan operasi pencarian di permukaan air kerana tiada selaman dilakukan pada waktu malam. 

“Kami telah melakukan operasi pencarian mangsa namun, sehingga pukul 12 malam tadi tiada penemuan mangsa. Pihak bomba akan menyambung operasi pencarian pada pukul 8 pagi hari ini,” katanya. 

Seramai 14 anggota terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba Teluk Kemang dan Balai Bomba Seri Jempol.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN